suria

Hanya Polis Berpangkat Inspektor Dan Ke Atas Boleh Buat Rampasan Tanpa Waran

PETALING JAYA: Hanya polis yang berpangkat Inspektor atau lebih tinggi akan dibenarkan untuk membuat rampasan tanpa waran, bergantung kepada keadaan.

Di bawah Seksyen 62 Kod Prosedur Jenayah (CPC), hanya pegawai berkenaan dibenarkan untuk memasuki premis dan menjalankan rampasan tanpa waran, dengan memberikan sebab munasabah untuk berbuat demikian.

Menurut Pegawai Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (D5), Deputi Superitendan Razmi Mohd Gunnos, rampasan seperti itu dibenarkan sekiranya mereka mensyaki terdapat barangan yang menyalahi undang-undang akan dibawa keluar dan dengan mendapat waran akan menyebabkan suspek melarikan diri.

"Keadaan yang lain di mana rampasan berlaku pada waktu malam atau hujung minggu di mana mahkamah majistret tidak beroperasi.

"Jika jenayah sedang berlaku, pegawai yang membuat operasi turut boleh memasuki premis dan melakukan rampasan terhadap barangan curi tanpa waran," katnya kepada The Star pada Rabu.

Bagaimanapun, bagi rampasan atau serbuan yang telah dirancang, polis perlu mendapatkan waran di bawah Seksyen 54 CPC.

Razmi menjelaskan bahawa rampasan yang telah dirancang perlu mempunyai waran bagi memastikan sebarang bukti yang diperoleh dapat diterima semasa perbicaraan di mahkamah.

"Pegawai yang bertugas biasanya akan menyenaraikan barangan yang dijangkan akan dirampasa semasa serbuan yang telah dirancang apabila memohon waran daripada majistret.

"Pegawai juga akan menyenaraikan barangan rampasan yang lain (bukan pada senarai) slepas serbuan dilakukan bagi memastikan kesemua bukti diterima," katanya.

Beliau berkata, waran di bawah Seksyen 38 CPC akan efektif sehingga ia dikeluarkan oleh mahkamah majistret atau sehingga suspek ditangkap.

Antara keadaan untuk mengeluarkan waran tangkap sekiranya individu yang dituduh tidak dikenakan ikat jamin, saksi diminta hadir ke mahkamah enggan untuk menghadiri ke perbicaraan mahkamah dan mereka yang mempunyai saman trafik tertunggak.

Ditanya mengenai rampasan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM), Razmi berkata, para pegawai terbabit bertindak mengikut Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988.

"Para pegawai Jais mempunyai kuasa untuk membuat serbuan dan rampasan mengikut undang-undang," katanya, sambil menambah bahawa polis akan membantu pihak penguatkuasa yang lain, termasuk Jais sekiranya diminta untuk berbuat demikian.

Artikel Lain