suria

Kemunculan Anak Hj Hadi Di Pentas Nasional Tarik Perhatian Muktamar

Muhammad Khalil
Muhammad Khalil
Muhammad Khalil

PETALING JAYA: Kemunculan anak sulung Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pentas nasional buat pertama kalinya pada Muktamar kali ini sudah semestinya menarik perhatian ramai.

Muhammad Khalil Abdul Hadi, 36, adalah calon bagi jawatan timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Namun ketika ditanya oleh mStar Online, beliau sebaliknya tidak percaya yang statusnya sebagai anak pemimpin utama parti itu akan mempengaruhi keputusan perwakilan pada Muktamar Dewan Pemuda PAS yang akan bermula Rabu.

Sebaliknya Khalil berpendapat, penyertaannya dalam merebut jawatan nombor dua sayap parti berkenaan akan dinilai berdasarkan sumbangannya dalam PAS sejak remaja lagi.

"Dalam parti ini...saya sendiri bukan tiba-tiba datang dari atas. Saya terlibat dalam perjuangan parti sejak umur belasan tahun.

"Jadi keberadaan saya dalam PAS boleh dijadikan penilaian kepada perwakilan," katanya.

Menerusi Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, Khalil bakal berhadapan saingan satu lawan satu menentang Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob.

Jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS itu kosong berikutan keputusan penyandangnya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz untuk bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

PROFIL MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI:

> Umur: 36. Anak pertama daripada 11. (Isteri pertama);

> Status: Berkahwin. Seorang isteri, 2 anak;

> Pendidikan;

- Ijazah dalam bidang syariah dan Bahasa Arab dari Universiti Yamaniyah, Yaman.

- Ijazah sarjana dari Portsmouth University United Kingdom dalam bidang pengajian Islam.

- Kini sedang siapkan Ijazah PhD.

> Jawatan dalam PAS: Ketua Pemuda PAS Marang.

Banyak pihak menganggap perebutan bagi jawatan ini dilihat menarik apabila menyaksikan pertembungan antara wakil ulama dan bukan ulama.

Bagaimanapun kedua-dua calon ini iaitu Muhammad Khalil yang disifatkan mewakili kumpulan ulama dan Raja Ahmad Iskandar yang mewakili kumpulan bukan ulama mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi dan terdedah kepada pengajian di benua Eropah selain Timur Tengah.

Kedua-kedua mereka pernah melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil yang turut mempunyai ijazah dalam bidang syariah dan Bahasa Arab dari Universiti Yamaniyah, Yaman, bagaimanapun mengakui beliau tidak dapat lari daripada dibayangi imej bapanya.

Bagaimanapun tegasnya, pengaruh bapanya itu bukanlah satu bonus atau batu loncatan untuknya daripada meneruskan perjuangan di peringkat yang lebih tinggi.

"Saya tak dapat lari, saya akui bahawa ayah mempengaruhi keperibadian saya. Walaupun begitu saya percaya perwakilan tidak mengukur aspek tersebut untuk memilih kepimpinan.

"Tetapi perwakilan sudah matang, mereka sudah tentu akan memastikan kepimpinan yang bakal dipilih itu akan membawa parti ke arah hala tuju yang digariskan," katanya.

Muhammad Khalil berkata beliau mahu sayap itu terus memaikan peranan mendekati generasi muda dengan pendekatan yang lebih dinamik.

"Saya melihat cara pendekatan kita terhadap golongan muda perlu di perkemaskan dan diperbaharui kerana zaman sekarang bukan seperti dulu. Bagaimanapun pendekatannya mestilah selari dengan dasar PAS.

"Bila kita nak mendekatkan diri kepada golongan muda yang sudah tentu sinonim dengan aktiviti hiburan, sukan dan sebagainya, maka kita akan gunakan cara yang lebih berhemah terutama dalam mengajak mereka mencari hiburan yang baik," katanya yang kini sedang dalam proses untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD.

Artikel Lain