suria

Banduan Dipenjara Lapan tahun. Dua Sebatan Tetak Lelaki Guna Parang

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara tiga setengah tahun atas kesalahan samun berkumpulan, pada Rabu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menetak seorang bekas operator pengeluaran menggunakan parang, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad memerintahkan G.Danesh Kumar, 21, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 13 Ogos 2010.

Ketika menjatuhkan hukuman Noradidah turut menasihati tertuduh supaya mengubah sikap apabila dibebaskan dari penjara kelak.

"Awak anak muda, jangan sia-siakan umur awak...di penjara nanti buat yang terbaik supaya bila keluar nanti awak jadi orang berguna," katanya kepada tertuduh yang hanya menundukkan kepalanya. D anesh Kumar didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Rudy Amin, 26, dengan menetak mangsa menggunakan sebilah parang di Blok D, Pangsapuri Valencia, Jalan Tokoh 25/28, Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, antara 9.30 malam dan 10.10 malam pada 24 Julai 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat.

Mengikut fakta kes, polis menerima panggilan yang memaklumkan berlaku pergaduhan di antara sekumpulan lelaki India dan lelaki Sabah bersenjatakan parang serta pedang samurai di pangsapuri itu.

Dalam kejadian itu, Rudy telah ditetak berkali-kali menyebabkan beberapa jari tangannya tidak boleh berfungsi akibat kecederaan.

Terdahulu, peguam S.Priyalatha yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya terjebak dalam kejadian itu kerana bergaul dengan rakan-rakan yang mempunyai rekod jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Bariyyah Mohamed yang mengendalikan pendakwaan pula berkata tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kini sedang menjalani hukuman penjara tiga setengah tahun.

Ketika tertuduh melakukan kesalahan samun, dia masih disiasat polis berhubung kes menyebabkan kecederaan parah ke atas Rudi.

Beliau berkata kepentingan awam harus diutamakan oleh mahkamah kerana tindakan tertuduh dalam kejadian ini telah mendatangkan ketakutan kepada orang awam.

Sehubungan itu, katanya, hukuman setimpal perlu dijatuhkan ke atasnya. - BERNAMA

Artikel Lain