suria

74 Kes Bunuh Libatkan Senjata Api - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Sebanyak 74 kes bunuh melibatkan penggunaan senjata api direkodkan sejak Januari sehingga September tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 15 kes diikuti Perak (10), Pulau Pinang (sembilan), Johor dan Sabah masing-masing tujuh, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak masing-masing lima kes, Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing empat dan masing-masing satu di Melaka, Pahang dan Terengganu, katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan lisan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) pada persidangan Dewan Rakyat semalam, berhubung pecahan kes tembak mati sepanjang tahun ini dan langkah pencegahan yang diambil.

Ahmad Zahid berkata kebanyakan senjata api yang digunakan dalam kes itu dipercayai diseludup melalui negara jiran.

Selain itu, pergerakan keluar masuk pada kadar yang kerap, kesibukan lalu lintas di pintu masuk serta interaksi ekonomi antara penduduk di sempadan membuka peluang kepada aktiviti penyeludupan.

"Kewujudan lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan juga digunakan penduduk tempatan untuk menyeludup masuk barang-barang termasuk senjata ke negara ini.

"Hubungan kekeluargaan dan faktor geografi seperti kedudukan Sungai Golok antara Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan yang begitu hampir mewujudkan rangkaian yang mendorong kepada aktiviti penyeludupan," katanya.

Bagi menangani aktiviti penyeludupan di sempadan, Ahmad Zahid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain seperti Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memperketat kawalan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

"PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan agensi yang terlibat melalui perkongsian maklumat dan operasi bersepadu bagi membanteras penyeludupan di sempadan," katanya.

Menurutnya PDRM telah melaksanakan dua operasi khas iaitu Ops Laras dan Ops Api dari semasa ke semasa untuk mengekang penyeludupan dan mengawal penggunaan senjara api dalam aktiviti jenayah.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga sedang menimbang perolehan aset dan pembinaan infrastruktur baharu dalam usaha meningkatkan daya pengoperasian Pasukan Polis Marin (PPM), yang ditubuhkan pada 1 September 1947.

Sebelum ini, PPM yang ditugaskan menjaga kawasan daratan pantai, sungai, pelabuhan, pulau dan tasik akan diberi tanggungjawab di laut sehingga lima batu nautika dari pantai.

"Pengukuhan dan perluasan kawasan tanggungjawab PPM diyakini pertahanan perairan negara akan lebih tersusun dan mempunyai impak lebih berkesan dalam menangani pencerobohan yang meliputi keselamatan dan ketenteraman kawasan perairan negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain