suria

Dua Beranak Dari Dubai Mati Kereta Terbabas

TAPAH: Seorang remaja perempuan dan ibunya yang sedang mengandung enam bulan maut apabila kereta yang mereka naiki terbabas di Km 335.9 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara dekat sini petang Ahad.

Mira Ali, 13, meninggal dunia di tempat kejadian sementara ibunya Hajar Ahmad Al Tanajy, 34, meninggal ketika dirawat di Hospital Tapah.

Kedua-duanya merupakan pelancong dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Somsak Din Keliaw berkata kereta Perodua Alza yang mereka naiki yang datang dari arah selatan menuju utara dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

"Rempuhan itu dipercayai menyebabkan si ibu parah manakala remaja berkenaan tercampak ke tebing bukit," katanya.

Somsak berkata ketua keluarga itu Ali Mohamed Amer, 38, anak-anaknya Saif, 8, dan Moza, 5, tidak mengalami sebarang kecederaan manakala seorang lagi anaknya Muhammad, 11, cedera ringan di kepala.

Pemandu kereta itu Musleh Hamid Abdo Mohammad dari Yemen melarikan diri selepas kejadiaan itu dan pihak polis sedang menjejakinya, katanya.

Beliau berkata keluarga tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk bercuti di Pulau Pinang.

Somsak berkata jenazah mangsa akan diuruskan pihak kedutaan UAE.

Duta UAE ke Malaysia, Abdulla Mattar Khamis Al Mazrouei yang turut berada di hospital berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.30 petang.

Beliau berkata pihak kedutaan akan memindahkan kesemua mangsa untuk rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur manakala jenazah akan diuruskan secepat mungkin.

Urusan akan mengambil sedikit masa memandangkan kesemua pasport mereka ditinggalkan di hotel penginapan di Kuala Lumpur selain pihaknya perlu menyelesaikan segala prosedur berkaitan polis dan pihak berkuasa lain sebelum penghantaran pulang jenazah dilakukan, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain