suria

Lembaga Tabung Haji Cari Lokasi Sesuai Bina Kompleks Haji

KUALA TERENGGANU: Lembaga Tabung Haji (LTH) akan bekerjasama dengan beberapa negeri lagi untuk mencari lokasi yang sesuai bagi membina kompleks dan hotel bagi keselesaan jemaah haji.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, adalah penting kompleks dan hotel itu terletak berhampiran lapangan terbang bagi memudahkan proses melapor diri, mendaftar masuk, pemeriksaan bagasi dan urusan imigresen para jemaah.

LTH kini memiliki lima kompleks haji iaitu di Kelana Jaya, Selangor; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Kota Kinabalu, Sabah; Kuala Terengganu, Terengganu dan Alor Setar, Kedah.

Manakala pembinaan kompleks haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dijangka siap pada 2016.

Penyediaan hotel berhampiran lapangan terbang juga dapat menyediakan kemudahan bilik penginapan untuk bakal jemaah haji sebelum mereka berlepas ke tanah suci, katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Kompleks Haji dan TH Hotel Terengganu di sini Isnin oleh Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut berangkat Sultanah Nur Zahirah.

Kompleks dan hotel tersebut terletak di kawasan seluas 3.08 hektar dengan kos pembinaan RM77.6 juta dan bakal mengendalikan lima penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke tanah suci untuk membawa 1,400 bakal haji musim ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain