suria

Polis Tahan Tiga Anggota 'Geng 08 Vinod' di Ulu Yam

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga daripada empat lelaki dipercayai anggota 'Geng 08 Vinod' selepas kereta dinaiki mereka terbabas apabila cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 2.10 pagi ini, kereta dinaiki empat suspek berumur antara 20 dan 21 tahun itu melanggar kon sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum melarikan diri.

Beliau berkata dua anggota JPJ bertindak mengejar kereta suspek yang kemudian terbabas di Jalan Ulu Yam, Selayang.

"Sebaik sahaja terbabas, kesemua suspek melarikan diri ke dalam hutan berhampiran, namun tiga suspek berjaya ditahan dengan bantuan unit K9 (unit anjing pengesan)," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Abdul Rahim berkata polis masih mencari seorang lagi suspek dipercayai masih bersembunyi di dalam hutan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki suspek dilaporkan hilang dan polis tidak menolak kemungkinan kesemua suspek terbabit dalam beberapa kes curi kereta, selain samun di sekitar kawasan Selayang dan Rawang.

Katanya, polis juga merampas dua bilah parang, satu pisau lipat dari kereta suspek.

-BERNAMA

Artikel Lain