suria

Kerajaan Persekutuan Peruntuk RM430 Juta Kepada Kumpulan Wang Simpanan Negeri Pada 2015

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Raza yang juga Menteri Kewangan berkata sesuatu kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2013 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini. Mesyuarat tahunan ini membincangkan peruntukan kepada negeri-negeri dan pengurusan kewangan negeri serta perkara-perkara berkaitan. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM430 juta kepada Kumpulan Wang Simpanan Negeri bagi tahun 2015, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata daripada jumlah itu, RM130 juta merupakan pembiayaan caruman kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus.

Sejumlah RM300 juta lagi diberikan berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup.

"Jumlah caruman yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kumpulan Wang Simpanan Negeri bagi 2014 berjumlah RM287 juta," kata Perdana Menteri kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat tahunan Majlis Kewangan Negara 2013, di sini, Selasa.

Perdana Menteri berkata peruntukan ini disediakan supaya Kumpulan Wang Simpanan Negeri mampu membiayai permohonan pengeluaran daripada kerajaan-kerajaan negeri pada tahun berkenaan.

Selain itu, Najib berkata kerajaan Persekutuan akan membiayai 50 peratus kos mengurus senarai bersama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (Negeri) Semenanjung, Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Sabah dan Kementerian Perancangan dan Sumber Sarawak (Fungsi Perancangan Bandar dan Desa).

"Pemberian ini akan diberikan mulai tahun hadapan berdasarkan perbelanjaan mengurus jabatan pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan keputusan ini akan melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan Persekutuan antara RM28 juta dan RM32 juta untuk tahun hadapan.

"Menerusi pembiayaan ini, jabatan ini diharapkan dapat memainkan peranan lebih aktif dan berkesan di peringkat negeri dan seterusnya membantu mencapai matlamat negara menjelang 2020," katanya.

Najib berkata mesyuarat itu juga meluluskan Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri untuk diguna pakai oleh semua kerajaan negeri.

Pada mesyuarat itu juga, sebuah jawatankuasa Pengurusan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri ditubuhkan supaya isu mengenai pemberian penyelenggaraan jalan negeri dapat diselesaikan dengan lebih cepat tanpa merujuk kepada Majlis Kewangan Negara.

"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai Ketua Audit Negara, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Akauntan Negara, Peguam Cara Perbendaharaan dan empat wakil kerajaan negeri," katanya.

Najib juga berkata wakil kerajaan negeri akan dipilih bagi setiap tempoh dua tahun daripada kalangan Pegawai Kewangan Negeri/Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak/Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah.

"Mereka akan mewakili empat zon iaitu Zon 1: Perlis, Kedah Pulau Pinang dan Perak, Zon 2: Kelantan, Terengganu dan Pahang, Zon 3: Selangor,Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan Zon 4: Sabah dan Sarawak," katanya.

"Pengarah Belanjawan, Kementerian Kewangan merupakan Setiausaha jawatankuasa ini," kata Najib.

Perdana Menteri berkata mesyuarat juga bersetuju terhadap cadangan Rang Undang-Undang Akta Tatacara Kewangan (Pindaan) 2013 bagi melaksanakan perakaunan akruan kerajaan Persekutuan mulai 2015 dan bagi kerajaan negeri mulai 2016. - BERNAMA

Artikel Lain