suria

6,000 Graduan Doktor Falsafah Menjelang 2023 - Abdul Wahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan seramai 6,000 graduan Doktor Falsafah (PhD) menjelang 2023, selari dengan usaha melahirkan pakar pelbagai bidang bagi memajukan dasar industrialisasi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar memberitahu persidangan Dewan Negara pada Isnin, sasaran itu merupakan mekanisme bagi mewujudkan kelompok sumber manusia berpengetahuan tinggi.

Katanya graduan berkenaan akan menjadi pemangkin kepada penyelidikan dan pembangunan selaras dengan kewujudan beberapa universiti berstatus penyelidikan termasuk Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

"Kapasiti institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta juga dipertingkatkan bagi menambah pakar pelbagai bidang ... kita mempunyai 65 IPT awam dan swasta," katanya menjawab soalan Senator Dr Ariffin SM Omar mengenai langkah kerajaan memastikan penambahan pakar dalam pelbagai bidang di negara ini.

Abdul Wahid berkata kerajaan telah menubuhkan empat universiti teknikal iaitu Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Teknologi Melaka, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan berjaya melahirkan 7,743 graduan teknikal, berdaya saing tahun lepas.

Abdul Wahid berkata kerajaan turut mengadaptasi kaedah pengwujudan tenaga kerja mahir dari beberapa negara luar dengan mewujudkan beberapa institut latihan teknikal antaranya Institut Jerman-Malaysia, Institut Brtish-Malaysia dan Universiti Kuala Lumpur-Perancis.

Tahun lepas, katanya institutsi tersebut menglahirkan 2,636 graduan berkemahiran tinggi yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan industri negara.

Beliau berkata jalinan kerjasama IPT awam dan swasta serta institut latihan kemahiran dengan peneraju teknologi global turut membantu mendorong tenaga kerja muda memacu ke hadapan transformasi ekonomi Malaysia.

Menurut beliau, pada Jun 2012, program Crest (Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, Sains dan Teknologi) melibatkan kerjasama 10 syarikat sektor elektrik dan elektronik dengan agensi kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad dilancarkan bagi merealisasikan hasrat melahirkan lebih ramai pakar tempatan.

"Kerjasama ini dapat membangunkan tenaga kerja teknikal berkaitan industri bagi memastikan pembangunan mapan industri elektronik berteknologi tinggi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain