suria

33 Individu Termasuk Chegubard Didakwa Sertai Perhimpunan Di Jalan Parlimen

KUALA LUMPUR: Seramai 33 individu termasuk Ketua PKR Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyertai perhimpunan dan merusuh di Jalan Parlimen, bulan lepas.

Badrul Hisham atau Chegubard, 35, Adam Adli, 25, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhammad Safwan Anang@Talib, 24, Sekretariat SMM Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, 22, tiga wanita dan 26 lagi lelaki didakwa menyertai perhimpunan itu bertujuan melakukan mudarat awam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Parlimen antara 9.15 pagi dan 11.25 pagi pada 24 Jun lepas mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Badrul Hisham, Adam Adli dan 15 lagi individu termasuk dua wanita turut didakwa terhadap pertuduhan merusuh di persimpangan jalan masuk ke bangunan Parlimen pada 11.25 pagi pada tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum prosiding bermula, galeri awam yang dipenuhi penyokong dan keluarga tertuduh kecoh seketika apabila segelintir daripada mereka menyanyi dan membuat bising di dalam mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh atas alasan perbuatan mereka telah menyebabkan kesusahan kepada orang awam.

"Jika jaminan rendah ditawarkan, ditakuti mereka tidak mengambil serius terhadap kesalahan yang dilakukan," katanya.

Peguam Eric Paulsen yang mengetuai barisan pembelaan, memohon jaminan dikurangkan kepada RM1,000 kerana jumlah jaminan yang ditawarkan itu sangat tinggi dan semua tertuduh juga memberi kerjasama penuh kepada polis.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain