suria

Perumahan Warga Emas Musnah Terbakar Di Klang

KLANG: Seramai 26 penghuni sebuah perumahan warga emas di Jalan Solok Tamarind, Taman Selatan di sini terselamat apabila penempatan mereka musnah dalam satu kebakaran malam Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Yusri Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.17 malam dan terus mengerahkan tiga jentera bomba dengan 15 anggota ke tempat kejadian.

Pasukan bomba dapat mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran dalam masa 40 minit, katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kesemua penghuni terbabit tidak mengalami kecederaan dalam kebakaran yang memusnahkan hampir 80 peratus bangunan tersebut.

Katanya, semua warga emas itu akan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk ditempatkan sementara di pusat asuhan warga emas di Taman Sentosa, Klang.

Mohd Yusri berkata pihak bomba sedang menyiasat punca kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain