suria

Cadangan Pembinaan Jalan Ulu Tubai Dijangka Beri Manfaat Kepada 2,500 Penduduk

KUCHING: Cadangan pembinaan jalan Ulu Tubai ke Mentawai sepanjang 35 kilometer di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Danau di utara Sarawak yang dijangka menelan belanja RM84 juta, bakal memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 penduduk, kebanyakannya Iban dan Tagal.

Menteri Muda Komunikasi dan Pembangunan Infrastruktur negeri Datuk Daud Abdul Rahman berkata projek lain yang dicadangkan ialah menaiktaraf jalan Bukit Sagan/Ulu Lubai sepanjang 13 kilometer di bahagian Limbang yang dijangka menelan kos RM24 juta.

"Cadangan untuk melaksanakan kedua-dua projek itu akan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan untuk pertimbangan," katanya pada persidangan dewan undangan negeri Sarawak di sini Khamis.

Menjawab soalan Paulus Gumbang (BN-Batu Danau), beliau berkata projek menaiktaraf jalan Bukit Sagan/Ulu Lubai yang akan menghubungkan dua sekolah iaitu SK Nanga Merit dan SK Ulu Lubai, Klinik Desa dan dan empat rumah panjang akan memberi faedah kepada kira-kira 1,000 orang, kebanyakannya masyarakat Iban.

Jalan baharu Ulu Tubai juga dijangka menghubungkan penduduk di Nanga Medamit, Kampung Ensungei, Kampung Entakong dan Kampung Melaban.

Sementara itu, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga negeri Rosey Yunus berkata bagi tempoh 2011 sehingga 2012, kerajaan mengagihkan peruntukan 1AZAM berjumlah RM710,000 kepada 71 peserta di kawasan Balai Ringin.

Menjawab soalan Snowdan Lawan (BN-Balai Ringin), beliau berkata kerajaan juga telah meluluskan sejumlah RM2.058 juta untuk melaksanakan 100 unit projek Program Bantuan Rakyat, di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. - BERNAMA

Artikel Lain