suria

Ketua Menteri Melaka Baru Janji Teruskan Legasi Mohd Ali

ADUN Sungai Udang Datuk Idris Haron menerima ucapan tahniah oleh mantan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam selepas Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-10 di Pejabat Yang Dipertua Negeri di Ayer Keroh di Melaka pada Selasa. Turut kelihatan isteri Idris, Datin Fadilah Abdullah dan isteri Mohd Ali, Datin Seri Asmah Abdul Rahman (kanan). -Foto BERNAMA

MELAKA: Ketua Menteri Melaka yang baru Datuk Ir Idris Haron berjanji akan meneruskan legasi Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi membangunkan Melaka ke tahap lebih cemerlang.

Idris, 47, berkata beliau akan turut mengekalkan budaya kerja bekas Ketua Menteri itu yang telah berusaha dengan jiwa dan raga selama 13 tahun sehingga berjaya menjadikan Melaka sebuah negeri maju dan dikenali di peringkat antarabangsa.

"Saya memilih untuk menjadi seorang Ketua Menteri yang transformasi, apa yang telah dilaksanakan Datuk Seri Mohd Ali akan saya teruskan dan cuba mentransformasikannya supaya menjadi lebih baik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua jabatan negeri Melaka di Seri Negeri di sini, Selasa.

Malah, katanya, ia menjadi cabaran besar kepadanya untuk mengekalkan usaha-usaha pembangunan yang telah dilakukan Mohd Ali. Dalam pada itu, beliau berkata pelantikan barisan Exco kerajaan negeri akan dilakukan sebelum 15 Mei depan.

Idris berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Omar Kaseh berhubung tatacara pelantikan berkenaan.

"Barisan Exco akan dipilih di kalangan mereka yang boleh memandu negeri Melaka ke arah lebih maju dan berjaya," katanya yang hanya mengetahui dipilih menjawat jawatan Ketua Menteri pagi Selasa.

Ditanya sama ada wakil MCA akan terpilih berikutan keputusan parti itu tidak menerima sebarang jawatan di peringkat kampung hingga persekutuan, Idris berkata beliau menghormati keputusan parti itu.

"Saya akan lihat dari segi tawaran kepada parti-parti komponen yang berjaya pada pilihan raya, terima atau tidak terserah kepada mereka," katanya.

Mengulas mengenai layanan terhadap kaum Cina berikutan 'tsunami Cina' pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Idris berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melaksanakan agenda yang telah dirancang termasuk manifesto pilihan raya tanpa mengira latar belakang kaum.

Bagaimanapun, katanya. rakyat khususnya kaum Cina perlu menghargai segala bantuan yang diberikan kerajaan.

"Pihak yang menerima (bantuan) jangan lihat itu semua dari sudut politik, kerajaan ikhlas membantu rakyat," katanya.

Malah, katanya, beliau akan menjadikan kekalahan Mohd Ali di Parlimen Bukit Katil kepada Pengerusi PKR Melaka Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan majoriti 5,447 sebagai pengajaran dalam melaksanakan tugas.

"Dimanakah semangat meritokrasi, kebertanggungjawapan, transparensi dan integriti apabila pemimpin yang bertungkus lumus tidak diberikan ganjaran sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Mohd Ali menyifatkan pelantikan Idris sebagai keputusan yang tepat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memacu negeri Melaka ke tahap lebih tinggi.

Beliau percaya Idris mampu menggalas tugas dengan baik dengan sokongan wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan di negeri itu.

Katanya beliau akan terus menghulurkan bantuan kepada kerajaan negeri sekiranya diperlukan serta membantu menguatkan BN Melaka.

"Agi hidup agi ngelaban, selagi hidup perjuangan perlu diteruskan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain