suria

DAP Ibarat 'Lembu Punya Susu, Sapi Dapat Nama'

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri pimpinan DAP hanya diibaratkan seperti "lembu punya susu, sapi dapat nama" apabila mendakwa kononnya mereka yang berusaha mendapatkan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata sebenarnya usaha untuk mendapatkan pengiktirafan itu dilakukan oleh kerajaan negeri pimpinan BN sejak tahun 1990.

"Kini DAP terdesak untuk mengaku kononnya hasil pencapaian selama lima tahun pentadbiran mereka telah membolehkan bandar George Town diiktiraf sebagai bandar warisan dunia oleh Unesco", katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata proses pengiktirafan itu hanya diperoleh selepas tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum 2008.

"Mereka mendakwa status Tapak Warisan Dunia untuk George Town hasil kerja mereka. Ini petunjuk jelas bagaimana mereka mendapat kredit atas segala usaha yang dilakukan pentadbiran BN, sedangkan mereka tidak lakukan apa-apa dalam proses mendapatkan status itu," katanya. Teng berkata beliau adalah anggota Exco yang bertanggungjawab membuat permohonan status Unesco ketika itu serta bertanggungjawab menghantar segala dokumen kepada Unesco pada tahun 2006 dan 2007.

Teng berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat BN Pulau Pinang di sini hari ini bagi mengulas iklan sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina baru-baru ini yang menyiarkan senarai pencapaian kerajaan DAP selama lima tahun mentadbir Pulau Pinang, termasuk kononnya pemberian status George Town sebagai tapak warisan dunia.

Teng turut mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat janji pada saat-saat akhir berhubung menyediakan rumah kos sederhana rendah dan mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang.

Walaupun ia tidak tersenarai dalam manifesto, Teng berkata Perdana Menteri daripada awal sudah membuat janji itu pada lawatan kerjanya ke Pulau Pinang iaitu mahu menyediakan 20,000 unit rumah mampu milik di lokasi-lokasi strategik di negeri ini. "20,000 unit rumah itu memang sudah dijanjikan oleh PM baru-baru ini, dan bagi peringkat ini, kerajaan akan membina 9,999 unit rumah," katanya.

Teng juga berkata pembinaan projek perumahan itu tidak menjejaskan penghuni asal rumah pangsa seperti yang didakwa pembangkang kerana projek itu dilakukan secara berperingkat iaitu penduduk asal akan dipindahkan selepas rumah baharu disiapkan sepenuhnya di lokasi pilihan, sementara rumah sedia ada akan dinaik-taraf.

"Inilah yang diputarbelitkan oleh Lim. Kita kata kita akam bina, siap dan kemudian penduduk pindah," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain