suria

Ahli Umno Bertanding Tiket Bebas Digugur Keahlian Sepanjang Hayat - TPM

PAGOH: Ahli Umno yang bercadang untuk menjadi calon Bebas dinasihatkan untuk berfikir panjang kerana secara automatiknya mereka akan dipecat dari keahlian sepanjang hayat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan agar bantahan terhadap calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan tidak mengakibatkan mereka membuat keputusan mengikut emosi.

"Jika seseorang ahli parti yang memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas mereka akan secara sendiri akan tergugur sebagai ahli sepanjang hayat.

"Saya nasihatkan agar mereka berfikir panjang sebelum membuat keputusan yang akan merugikan diri sendiri," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Daerah Mengundi Parlimen Pagoh, di sini, Jumaat.

Tegas beliau, individu tersebut perlu menilai peluang untuk menang terlebih dahulu dan bukan sekadar hanya ingin menimbulkan masalah.

"Mereka ingin menunjukkan rasa kecewa dan ingin bertanding tapi mereka perlu nilai peluang untuk menang.

"Mereka jangan hanya mahu menimbulkan masalah dan bertujuan memecahkan undi semata-mata," katanya.

Beliau turut menasihatkan agar ahli yang kecewa tidak bertindak membantu jentera parti pembangkang sebagai menunjukkan tanda bantahan.

"Perkara ini memang menjadi lumrah biasanya mereka yang tidak terpilih mengkin kecewa dalam dua atau tiga hari dan akan kembali membantu parti.

"Saya harap mereka dapat berfikir dengan rasional sebelum membuat keputusan yang menimbulkan masalah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain