suria

20 Sekolah Di Pedalaman Sabah, Sarawak Dinaik Taraf

BELURAN: Empat belas sekolah di pedalaman Sabah dan enam sekolah di pedalaman Sarawak akan dinaik taraf atau ditambah baik mengikut keperluan menerusi program Transformasi Pendidikan Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak mulai tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam sekolah di Sabah dan tiga sekolah di Sarawak itu dipilih melaksanakan program itu menerusi fasa pertama manakala lima di Sabah dan dua di Sarawak akan menjalani transformasi itu menerusi fasa dua tahun depan.

Fasa ketiga pada 2015 pula meliputi sebuah sekolah di Sarawak dan tiga di Sabah, kata Muhyiddin semasa melancarkan Pelan Transformasi Pendidikan Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak di Pentas Rakyat Paitan di sini, Khamis.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Muyhiddin yang juga Menteri Pelajaran menggariskan tujuh teras utama bagi meningkatkan prestasi pencapaian pendidikan ke tahap lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri berkata pelan transformasi itu merupakan paradigma perubahan pendidikan menyeluruh dengan memberi penekanan kepada faktor yang telah dikenal pasti boleh menyumbang kepada peningkatan kecemerlangan pendidikan iaitu guru, murid, ibu bapa dan komuniti serta infrastruktur.

"Justeru bagi memastkan pelan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, maka ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula tahun ini sehingga 2015," katanya.

Muhyiddin berkata teras pertama pelan transformasi itu bermatlamat meningkatkan kualiti kepimpinan dan kemahiran mengurus di semua peringkat, terutama di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah.

Katanya teras kedua pula akan memberi tumpuan terhadap bidang berkaitan kurikulum, penyusunan pengajaran dan penilaian pengajaran, bagi memastikan murid di pedalaman dapat mencapai prestasi cemerlang setanding murid di kawasan bandar.

Menurutnya teras ketiga pula bermatlamat meningkatkan pembangunan infrastruktur fizikal, akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya, manakala teras keempat pula meningkatkan kualiti murid dan prasekolah, dengan harapan semua murid mampu meningkatkan diri sendiri untuk belajar. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain