suria

Kementerian Kesihatan Gesa Syarikat Swasta Derma Kanta Intraocular

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan pada Jumaat menggesa syarikat-syarikat swasta untuk tampil menderma kanta intraocular bagi membolehkan lebih ramai golongan kurang berkemampuan menjalani pembedahan katarak.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kos pembedahan membuang katarak di hospital kerajaan ialah RM103, bagaimanapun harga kanta intraocular yang perlu digunakan pesakit selepas pembedahan ialah RM700, menyebabkan ada yang membuat keputusan untuk tidak menjalani rawatan.

Beliau berkata dianggarkan 300,000 individu menghidap katarak di negara ini dan jika tidak dirawat segera boleh menyebabkan berlaku masalah penglihatan atau dalam keadaan terburuk menyebabkan buta.

"Pesakit yang berusia, terutamanya di kawasan pedalaman menderita secara senyap kerana takut, tidak mengambil tahu, miskin atau tidak berkemampuan mendapatkan bantuan penjagaan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program komuniti rawatan katarak secara percuma 'Hope For Clarity' di sini.

Program itu dianjurkan bersama pusat rawatan mata swasta Optimax Eye Specialist, Alcon dan Zeiss serta disokong syarikat hartanah Kumpulan Mah Sing dan Nirvana Group yang akan menaja 100 warga emas menjalani pembedahan katarak secara percuma.

Liow berkata selaras dengan pelancaran Klinik Bergerak Rawatan Katarak 1Malaysia Katarak (KBRK1M) zon timur pada Isnin, sebuah bank kanta intraocular juga diwujudkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang bagi mengumpulkan kanta yang disumbangkan syarikat-syarikat swasta.

Katanya bank itu diwujudkan pada awal tahun ini dan terbaru, bank Standard Chartered menyumbangkan 3,000 kanta intraocular untuk dibahagikan dalam tempoh tiga tahun.

Selain itu, Liow berkata kementerian akan mengkaji semula waktu operasi sesetengah Klinik 1Malaysia supaya dapat diawalkan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan rawatan.

"Waktu operasi pada masa sekarang ialah dari jam 10 pagi hingga 10 malam tetapi ia mungkin boleh dipercepatkan kepada 8 pagi di klinik yang mempunyai ramai pesakit," katanya.

Sementara itu, seorang pesakit yang akan menjalani pembedahan di bawah program itu Wong Kow Ha, 61, dari Bentong, Pahang berkata beliau tidak sabar untuk kembali bekerja memandu lori selepas penglihatannya pulih.

"Katarak menyebabkan saya telah setahun tidak bekerja dan bergantung kepada duit yang diberikan anak. Harapnya dengan pembedahan ini, saya boleh lihat semula dengan sempurna," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain