suria

Najib Kongsi Rahsia Sukar Memandu, Wang Saku & Mahu Jadi Ahli Sukan

Jimmy yang bertugas sebagai deejay UFM berjumpa perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk rakaman 'Bersama Perdana Menteri' pada 19 Mac 2013.
Jimmy yang bertugas sebagai deejay UFM berjumpa perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk rakaman 'Bersama Perdana Menteri' pada 19 Mac 2013.
Jimmy yang bertugas sebagai deejay UFM berjumpa perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk rakaman 'Bersama Perdana Menteri' pada 19 Mac 2013.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mengimpikan hasrat untuk memandu kenderaan secara bersendirian tetapi perkara itu sering terhalang disebabkan kedudukannya sebagai seorang Perdana Menteri selain tidak dibenarkan oleh pihak polis atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun kata Najib, beliau dapat melaksanakan impian itu selepas dibenarkan memandu dari kediamannya di Putrajaya untuk makan malam bersama keluarga di Hotel Majestic Kuala Lumpur dekat sini.

“Saya teringin hendak memandu kereta tetapi tak ada peluang. Tapi dua minggu lalu saya (memandu kereta) bawa keluarga makan di Majestic Hotel dari Putrajaya dengan kawalan polis. Polis tak benarkan saya pandu tanpa kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman untuk siaran pagi terbitan UFM yang dikeudarakan pada pagi Jumaat.

Rakaman temu bual secara santai itu dilakukan oleh penyampai radio tersebut iaitu Tyzo dan Jimmy Shanley dan disiarkan bermula pukul 7 hingga 9 pagi.

UFM bersiaran menerusi frekuensi 101.3 FM untuk pendengar sekitar Lembah Klang sahaja.

Soalan-soalan kepada Najib itu dikumpulkan daripada peminat sebelum temu bual dilakukan.

Dalam pada itu ketika ditanya Jimmy mengenai wang saku yang sering dibawanya Najib berkata, beliau sentiasa bersedia dengan jumlah tertentu di dalam poket walaupun sebagai Perdana Menteri, susah baginya untuk berbelanja kerana semua perkara sering disediakan.

Ujar beliau, wang saku yang jumlahnya beberapa ratus ringgit itu digunakan sebagai peruntukan untuk diberi kepada orang susah terutama sekali jika beliau pulang ke kawasan parlimennya di Pekan, Pahang.

Najib turut mendedahkan beliau hanya tidur kira-kira lima sehingga enam jam sahaja sehari selain mengamalkan meminum milo, menonton berita dan membaca buku sebelum tidur.

Beliau juga bercerita angan-angannya ketika muda untuk menjadi ahli sukan tetapi hasrat itu tidak kesampaian kerana terpaksa menyertai politik sejak berusia 22 tahun selepas bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia pada tahun 1976.

“Kalau saya bukan PM, saya tak tahu apa kerja yang akan saya buat tetapi cita-cita saya masa muda nak jadi ahli sukan. Saya tak dapat bayangkan apa saya akan jadi kalau bukan PM sebab saya masuk politik sejak umur 22 tahun.

“Mula-mula masa muda, saya (cadang) nak buat MBA (Sarjana Pentadbiran Perniagaan) dulu dan masuk politik kemudiannya tapi semua berubah apabila ayahanda saya meninggal dunia,” ujarnya.

Berikut beberapa soalan lain yang dikemukakan Jimmy dan Tyzo terhadap Najib.

Bahasa apa yang Datuk Seri boleh kuasai selain Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?

Saya tak ada masa untuk belajar bahasa. Masa saya di UK (United Kingdom), saya belajar Bahasa Perancis tetapi saya dah lupa sebab tak pernah praktikkan.

Apakah doa Datuk Seri setiap kali solat?

Saya sering berdoa negara kita selamat, maju dan berdoa kita semua selamat.

Pernahkah Datuk Seri memakai seluar jean

Di rumah pun kadang-kadang saya pakai jean, dengan keluarga pun pakai jean. Kain pelekat pun saya pakai.

Apakah rancangan TV yang Datuk Seri gemari?

Saya suka History Channel. Saya minat sejarah, ketenteraan, sukan dan juga dunia. Kadang-kadang persembahan muzikal dan hiburan pun saya minat. Dulu saya rajin tengok ‘show’ di Regent Hotel. Dah lama dah tak ada.

Selalu atau tidak Datuk Seri melakukan senaman?

Senaman itu mustahak. Saya ni nak main golf pun terbatas. Tapi saya ada jurulatih dalam gim. Dia ‘dera’ saya dalam gim selama sejam. Bila kita bersenam, kita akan rasa riang dan ceria, badan jadi ringan dan hati rasa lapang.

Saya ni suka makan. Sekarang saya nak kurangkan makan. Nak kurangkan berat badan. Sejak saya melakukan senaman, badan saya dah ada ‘muscle’. Saya harap dapat senaman tiga jam seminggu tapi tak dapat.

Bagaimana Datuk Seri jaga penampilan?

Kita perlu gaya hidup yang seimbang. Apa-apa pun kita kena tahu menguruskan stres.

Apa yang Datuk Seri lakukan terhadap duit gaji?

Duit gaji saya buat belanja beli barang dapur dan selalu guna untuk beli hadiah kalau ada kenduri kahwin.

Berapa kerap Datuk Seri hubungi isteri (Datin Seri Rosmah Mansor)?

Kalau ada program di luar, satu hari satu kali saya ‘call’ tanya khabar dan program dia. Saya tahu psikologi isteri, dia suka kalau suami yang ‘call’. Saya kena ‘call-lah’.

Artikel Berikut

Artikel Lain