suria

Wanita Perlu Berani & Mempunyai Tahap Keyakinan Tinggi - Shahrizat

TUARAN: Keberanian, tahap keyakinan tinggi dan kesihatan terbaik perlu ada dalam diri setiap wanita kerana mereka merupakan tulang belakang kejayaan institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Kebangsaan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata peranan wanita kini amat luas kerana selain menjadi seorang ibu dan isteri, mereka juga terlibat dalam pelbagai agenda pembangunan negara termasuk bidang ekonomi dan politik.

Wanita seharusnya bersyukur kerana diberi pelbagai keistimewaan setara kaum lelaki dalam semua aspek dan tidak pernah dipinggir dalam menikmati kemajuan negara khususnya golongan ibu tunggal dan tidak berkemampuan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Sekampung Bersama Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Tuaran di Kampung Bolong Baru, dekat sini, Sabtu.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno berkata menjelang pilihan raya umum ke-13 ini, wanita perlu bersatu-padu dan bekerja keras serta berniat ikhlas dalam perjuangan parti kerana hati yang reda pasti mencapai kejayaan. Beliau yakin wanita berfikiran bijak dan tahu menilai kerajaan yang mampu membangunkan negara dan sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

Pada program yang dihadiri lebih 700 orang itu, sebanyak RM5,000 diperuntukkan kepada Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Tuaran bagi membantu golongan memerlukan.

Turut hadir Ketua Wanita Umno Sabah Datuk Armani Mahiruddin dan Ketua Wanita Umno Tuaran Jamaliah Antalip.

Terdahulu, Ketua Wanita Umno Tuaran Jamaliah Antalip menegaskan bahawa Wanita Umno dan BN Tuaran berikrar untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, DUN Sulaman dan DUN Tamparuli serta memenangi semula Parlimen Tuaran. "Rakyat Tuaran bukan bodoh, mereka tidak sewenang-wenang menyerahkan Parlimen Tuaran dan ketiga-tiga DUN kepada parti pembangkang," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain