suria

Wanita Maut, Lima Anak Dan Suami Parah Dalam Nahas Di Jalan Kuantan-Segamat

PEKAN: Seorang wanita maut manakala suami dan lima anaknya cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung sebuah treler di Kilometer 46 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, Jumaat.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa yang merupakan penumpang depan, Suria Anida Mohamad, 29, dari Felda Neram Bandar Baru Cheneh dekat Kemaman, Terengganu, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Suami mangsa, Mohd Shafie Ismail, 35, bersama lima anak mereka yang berusia 8 bulan hingga 9 tahun, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata dalam kejadian itu, mangsa menaiki kereta jenis Proton Gen2 dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju Segamat.

"Di tempat kejadian, dipercayai pemandu kereta terbabit hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung treler berkenaan lalu terbabas ke bahu jalan.

"Akibat itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami dan anak-anak mereka dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut," katanya di sini, Jumaat.

Yahaya berkata pemandu treler, Syed Mohd Norisham Mohd Nayan, 28, dari Kampung Sungai Lalang, Bedong, Kedah tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. BERNAMA

Artikel Lain