suria

Apalah Ertinya Mempertahankan ‘Kenikmatan’ Ego

PERHUBUNGAN erat berasaskan kerjasama dan persefahaman di kalangan ahli politik dan rakyat adalah amat penting.

Tanpanya perancangan dan juga pelaksanaan pembangunan akan terjejas. Sebagaimana kita maklum, tujuan pembangunan ialah untuk membawa suatu keadaan yang lebih baik kepada negara dan rakyatnya.

Semenjak kita mencapai kemerdekaan, kita telah berusaha dengan gigih untuk membangunkan negara bagi membolehkan rakyat keseluruhannya menikmati faedah-faedah daripada pembangunan.

Usaha-usaha untuk membangunkan negara membuka berbagai-bagai peluang kepada rakyat dari semua golongan dan peringkat untuk memperbaiki diri mereka.

Yang penting ialah peluang-peluang ini hendaklah digunakan dengan jujur tanpa menimbulkan dorongan hasad dengki dan nafsu haloba yang tidak terbatas.

Sekiranya kejujuran ini menjadi ciri yang terpenting di dalam usaha setiap rakyat untuk memperbaiki kedudukan dan taraf kehidupannya sudah pasti matlamat-matlamat pembangunan akan tercapai dengan berkesan sekali.

Namun realitinya ketika ini keegoan ahli politik telah memusnahkan perancangan ini. Masing-masing mengamalkan politik popular sekadar meraih simpati sekeping kertas undi. Yang teraniaya, pastinya rakyat yang terseksa pastinya pembangunan negara.

Keegoan

Semakin kita merangkak menuju kedewasaan dan kemajuan negara, kita sering terlupa bahawa kita membawa ego bersama kita.

Kita beri ia makan dan minum sehingga ia membesar dan akhirnya menjadi kuat untuk menguasai minda kita. Keegoan mula bermaharajalela hingga menyebabkan kita terasa diri kita yang hebat dan enggan belajar atau menerima pandangan orang di bawah kita.

Keegoan membunuh ruang pandangan dan membatas kemajuan.

Siapa pun kita, sama ada remaja atau orang tua pastinya memiliki keegoannya masing-masing. Keegoan ini kadang-kadang menjadi sumber kekuatan untuk kita mencapai satu ketinggian dan kejayaan tetapi kadang-kadang ia menjadi tembok atau hijab untuk kita menerima dan melakukan perubahan.

Ironinya, manusia boleh melonjak mulia kerana keegoannya bahkan ada yang terhina ketika keegoannya di luar kawalan.

Kaedah untuk “Tune” Keegoaan Kita Saya suka mengambil tafsiran Muhammad Iqbal tentang tarbiah. Katanya "Tarbiah ini seperti nak 'tune' tali Sita."

Apabila ada tali yang mengeluarkan bunyi yang kurang baik, kita tidak memotong dan buangkan tali tersebut tetapi kita 'tune'kan dengan baik.

Kita mendengar bunyinya elok-elok untuk kita mengetahui di mana silapnya kemudian baru kita 'tune'kan mengikut bunyi yang kita inginkan.

Dalam diri manusia memang kaya dengan khazanah untuk menjadi hebat dan cemerlang.

Sayidina Umar sebelum Islam adalah seorang yang gagah , garang dan ditakuti. Lalu Rasulullah SAW telah 'tune'kan hatinya kepada keimanan.

Oleh itu Sayidina Umar setelah keIslamannya masih lagi sebagai lelaki yang gagah berani dan sanggup melakukan apa saja demi Aqidah Benar yang terbina dalam dirinya.

Apa yang saya nak kongsikan di sini adalah kelembutan yang tersembunyi di sebalik keegoan ahli politik kita. Mereka sebenarnya memiliki hati yang lembut dan penuh pengharapan.

Secara fitrahnya manusia inginkan kebaikan cuma kadang-kadang jiwa mereka yang terasa lemah untuk bangun dan melakukan perubahan. Cuma mungkin mereka memerlukan sedikit masa untuk melebur keegoan mereka.

Ahli Politik dan Keegoan

Orang politik memang terkenal dengan egonya. Hakikatnya ego tidak boleh dibuang, tapi boleh di kawal.

Ahli politik kita boleh diibaratkan sebagai seorang penyelamat, hero kepada rakyat disayangi dia. Dia tidak akan membiarkan sesiapa mengganggu si jantung hati dia.

Dan lebih dari itu, dia cuba dari kemampuan dia untuk melindungi dan memuaskan perasaan kekasihnya. Dan apabila kekasihnya memberi kepercayaan, perkara mustahil boleh diatasinya.

Ini adalah disebabkan kuasa atau peranan besar rakyat kepada pemimpin mereka iaitu, kepercayaan.

Malangnya disebabkan secebis ego, seseorang pemimpin itu boleh mengabaikan tanggungjawabnya kepada rakyat. Lihat sahaja isu berkenaan air di Selangor.

Mainan politik dan keegoan para pemimpin amat jelas dalam isu ini. Hampir kesemua “pemain utama” dalam isu ini mengeluarkan kenyataan mempertahankan keegoan masing-masing.

Akan tetapi adakah mereka semua memikirkan kesengsaraan yang dialami oleh mereka yang menghadapi masalah terputus bekalan air ini.

Adakah mereka bersama-sama rakyat beratur dan mengangkat air? Adakah mereka memikirkan kesusahan rakyat yang perlu mandi, bersuci dan memasak.

Hapuskan Ego Demi Rakyat

Tidak dinafikan ego sebenarnya ada juga kebaikannya, namun lebih banyak keburukannya.

Akan tetapi, jangan sampai kita membunuh orang yang kita sayang kerana sikap ego kita. Apabila merendahkan ego tak bermakna kita rendahkan martabat diri kita.

Keegoan akan membunuh diri, keegoan juga menutup pancaindera diri untuk sedar akan sesuatu perkara. Keegoan, menindas diri. Jika tidak kerana keegoan yang terlampau mengutamakan sentimen politik, pastinya isu air sudah lama dapat diselesaikan.

Keegoan politik itu telah menyebabkan ramai pemimpin buta mata hati dan gagal membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Hari ini wajah dan suara hipokrasi itu menjelma semula di celah-celah kehangatan perbahasan mengenai isu air. Bahawa dalam menangani isu sebesar dan segenting gejala air ini, para pemimpin tidak sepatutnya terus bertelagah.

Sebaliknya, mereka diseru meninggalkan perbalahan politik buat seketika untuk sama-sama mendukung agenda menyelamatkan negara. Ego adalah salah satu mazmumah yang bersarang di hati.

Sebarang mazmumah bukan mudah hendak dikikis atau dipadamkan. Mazmumah tidak seperti penyakit lahiriah yang mudah diubati. Kesan sifat ego ini sangat merbahaya dan dahsyat.

Apalah ertinya mempertahankan ‘kenikmatan’ ego itu sedangkan menanggung seksa dan laknat rakyat dengan undi.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan bekas Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau merupakan penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected]

Artikel Lain