suria

Dasar Gaji Minimum Malaysia Berita Gembira Bagi Tenaga Kerja Nepal

NEW DELHI: Pelaksanaan dasar gaji minimum di Malaysia membawa berita gembira kepada belia separuh mahir dan tidak berkemahiran di negara Asia Selatan, terutama Nepal, yang sedang mencari pekerjaan, demikian menurut satu laporan.

Walaupun dasar baharu itu bertujuan meningkatkan taraf hidup di Malaysia, ia juga berkemungkinan memberi kesan besar terhadap Nepal dan negara Asia Selatan lain, yang amat bergantung pada kiriman wang oleh warga masing-masing yang bekerja di luar negara.

"Saya menjadi serba salah, sama ada hendak pergi ke negara Teluk atau Malaysia," kata Raj Kumar Niraula, yang menghadapi kesukaran mendapat kerja bergaji lumayan setelah tamat pengajian di Tribhuvan University di Nepal, kepada akhbar Khabar South Asia.

Malaysia adalah antara negara paling popular sebagai tempat mencari rezeki bagi rakyat Nepal.

Perasaan serba salah pemuda itu berakhir apabila dia mendapat tahu melalui sebuah agensi tenaga kerja bahawa kerajaan Malaysia mengumumkan akan menaikkan gaji minimum untuk pekerja.

"Saya harap dapat mengumpul sedikit sebanyak simpanan dan menikmati taraf hidup lebih baik apabila bekerja di Malaysia," kata Niraula, yang berasal dari sebuah kampung di daerah Jhapa, di selatan Nepal.

Di bawah dasar baharu itu - yang mula berkuatkuasa awal tahun ini - gaji minimum ditetapkan pada RM900 ($295) sebulan, naik daripada RM546 ($180)bagi pekerja di Semenanjung Malaysia, dan RM800 ($260) di Sabah dan Sarawak.

Kebanyakan syarikat di Malaysia dikehendaki mula membayar gaji minimum dalam tempoh enam bulan, manakala syarikat yang mempunyai tidak lebih lima pekerja diberi tempoh 12 bulan untuk berbuat demikian. "Keputusan kerajaan Malaysia itu memberi kesan besar terhadap ekonomi Nepal.

"Wang yang dikirim dari Malaysia akan meningkat sekurang-kurangnya 40 peratus," kata naib presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Asing Nepal (Nafea) Kumud Khanal.

"Walaupun sesetengah pihak bimbang peningkatan gaji akan menyebabkan permintaan terhadap pekerja asing berkurangan, namun penganalisis industri berkata kesannya adalah terhad. Khanal berkata berikutan kenaikan gaji itu, sesetengah syarikat multinasional mungkin akan menggunakan teknologi berintensif modal, tetapi ini tidak akan memberi kesan besar terhadap Nepal.

"Permintaan bagi pekerja asing, termasuk dari Nepal, mungkin menurun sedikit pada tahun-tahun akan datang kerana syarikat mungkin mengambil keputusan membuang pekerja bagi mengurangkan kos pengeluaran. Bagaimanapun, ini tidak akan memberi kesan segera terhadap pengaliran masuk kiriman wang," katanya.

Wang yang dikirim dari luar negara dianggarkan berjumlah 22 peratus daripada keseluruhan pendapatan Nepal. Menurut anggaran, pekerja Nepal yang bekerja di Malaysia sahaja menghantar pulang Rs80 bilion (US$927.6 million) setahun.

Banci kebangsaan 2011 menunjukkan lebih 1.9 juta rakyat Nepal bekerja di luar negara, lebih 95 peratus daripada mereka mencari rezeki di Malaysia, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

Menurut Kementerian Buruh dan Tenaga Kerja, jumlah rakyat Nepal yang pergi ke Malaysia, sama ada mengikut saluran rasmi atau tidak rasmi, ialah sekitar 400,000 orang.

Dalam tahun fiskal 2011-12, Malaysia menjadi destinasi pilihan 98,367 daripada sejumlah 384,665 rakyat Nepal yang merantau ke luar negara untuk mencari pekerjaan. -BERNAMA

Artikel Lain