suria

RCI Sabah: Tun M Akui Kerajaan Beri Kerakyatan Sah

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui mengetahui mengenai proses pemberian status kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata, pemberian status warganegara itu dibuat selepas mengambil kira syarat-syarat kelayakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Ramai (rakyat asing) yang ada di Sabah, mereka berada di situ bukan satu, dua hari atau satu, dua tahun...mereka ada di sini 20, 30 tahun.

"Mereka ini bercakap dalam bahasa Melayu. Mereka berhak untuk menjadi rakyat (Malaysia). Yang menjadi masalah ialah ada orang yang tidak senang kalau orang jadi rakyat walaupun mereka tinggal di Malaysia.

"Itu yang menimbulkan masalah. Jadi mereka yang berhak menjadi rakyat, yang memenuhi syarat kita bagi...saya akui saya bagi," katanya pada sidang media di Kompleks Media Karangkraf di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Ramli Kamarudin bahawa kerajaan pada ketika itu terlibat memberikan kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Ramli ketika menjadi saksi kepada Suruhanjaya Diraja (RCI) berkenaan pendatang asing di Sabah mendakwa menerima arahan daripada bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub agar mengeluarkan resit bagi membenarkan pendatang asing di Sabah mengundi pada pilihan raya negeri itu pada 1994.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa kerajaan pimpinannya sengaja memberikan status kerakyatan kepada pendatang asing sebelum pilihan raya Sabah pada 1994 agar kumpulan berkenaan mengundi menyokong kerajaan, Mahathir berkata ia mungkin berlaku secara kebetulan.

"Ia mungkin dilakukan sebelum pilihan raya negeri, tapi ia sama ada secara tak sengaja atau dirancang...saya tak pasti.

"Tapi ia dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang. Jika ia berlaku sebelum pilihan raya (negeri), ia tak bermakna bertentangan dengan undang-undang," katanya.

Berhubung sama ada pemberian status warga negara kepada pendatang asing di Sabah merupakan alasan politik agar Umno dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa di negeri itu, Mahathir berkata: "Tidak...ini adalah hak mereka (mendapat kerakyatan bagi yang layak).

"Bila mereka menjadi warga negara, sama ada mereka sokong Umno, BN atau siapa sahaja, itu hak mereka.

"Ia adalah fakta bahawa bukan semua mereka menjadi penyokong BN," katanya.

Sementara itu ditanya sama ada beliau turut disapina agar hadir memberi keterangan kepada RCI Sabah, Mahathir berkata: "Belum lagi, jika mereka minta saya hadir, saya akan pergi."

Artikel Lain