suria

200 Sertai Himpunan Bantah Penggunaan Kalimah Allah

SHAH ALAM: Kira-kira 200 umat Islam yang terdiri daripada ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor pada Jumaat berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Negeri di sini sebagai membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Perhimpunan aman yang diadakan selama 30 minit itu juga bertujuan untuk mempertahankan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan kalimah Allah merupakan kalimah suci khusus bagi orang Islam yang tidak boleh sama sekali digunakan di negeri ini oleh orang bukan Islam.

Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin yang mewakili kumpulan NGO terbabit berkata, mereka menyokong sepenuhnya ketegasan Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam di negeri ini.

"Ia merupakan kalimah suci khusus bagi orang Islam sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010," katanya.

Beliau turut mendesak semua pihak agar menghormati Enakmen Agama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

"Saya ingin menasihatkan orang bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan agama Islam bagi mengelakkan permusuhan dan salah faham pelbagai agama serta kaum di negara ini.

"Seksyen 9 Enakmen ini dengan jelas melarang kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka," katanya.

Susulan itu, beliau mendesak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang masih memperlekehkan Fatwa, Enakmen dan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini.

Turut hadir dalam perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat itu adalah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Senator Mohamad Ezam Mohd Noor, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) Datuk Sohaimi Shahadan, Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali dan beberapa lagi wakil NGO.

Sementara itu, Mohamad Ezam memberi amaran kepada semua pemimpin politik supaya tidak memperalatkan agama Islam sebagai modal politik kerana ia boleh membangkitkan kekeliruan rakyat, persengketaan antara kaum dan memudaratkan keamanan negara.

"Kita berhimpunan bukan untuk tujuan politik tetapi mempertahankan kalimah keramat lagi suci ini. Kita wajib berani menentang sesiapa saja yang mahu memperkecilkan agama Islam," katanya.

Beliau turut menggesa semua umat Islam tanpa mengira perbezaan ideologi politik supaya bersatu atas nama Allah untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam timbul kembali selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika sambutan Krismas lalu meminta kerajaan membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah itu di dalam Bible.

Lebih mengejutkan, PAS bersama majlis pimpinan pakatan pembangkang yang bersetuju kalimah Allah digunakan oleh penganut semua agama dalam mesyuarat mereka pada Rabu lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain