Abdul Hadi Diberi Peluang Beri Penjelasan Amanat Di RTM - Rais - Semasa | mStar

Abdul Hadi Diberi Peluang Beri Penjelasan Amanat Di RTM - Rais

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan diberi peluang memberi penjelasan mengenai amanatnya yang mengkafirkan Umno pada 1981, di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, Abdul Hadi perlu memohon kepada kementerian mengenai saluran yang dipilihnya untuk memberi penjelasan itu.

"Pihak RTM boleh siarkan kenyataannya sekiranya kandungannya sesuai dan ada nilai berita. Tetapi pada masa yang sama, Abdul Hadi perlu memberi peluang kepada pihak lain memberi pandangan mereka kerana amanatnya ini telah dibuat pada 1981," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan raptai sambutan Rumah Terbuka Malaysia Krismas dan sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka di sini, Sabtu.

Sambutan itu dijadual diadakan pada 31 Disember.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Datuk Fuad Hassan, Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Norhyati Ismail dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli.

Rais berkata, pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mufti perlu diambil kira untuk mengetahui status amanat itu yang mengkafirkan Umno daripada sudut akidah.

Presiden PAS itu pada Sabtu berkata, beliau sedia menjelaskan isu amanatnya pada 1981 sekiranya beliau diberi peluang untuk berbuat demikian menerusi siaran langsung di stesen televisyen tempatan.

Ditanya mengenai masalah masalah talian telefon mudah alih yang tiba-tiba terputus akibat masalah teknikal, Rais berkata, ia bukan kesalahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, syarikat telekomunikasi harus memberi penjelasan lengkap kepada pengguna mengenai masalah itu dan menyatakan jumlah talian terputus dialami pengguna telefon bimbit pada setiap bulan.

"SKMM boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat telekomunikasi masih gagal mengatasi masalah tersebut," katanya.

Minggu lepas, media melaporkan mengenai masalah talian telefon mudah alih terputus yang semakin teruk di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Pembangunan Industri dan Sumber Perancangan SKMM, Datuk Ali Hanafiah telah memberi amaran dan berkata SKMM tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengikut kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Berhubung cadangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin supaya kerajaan tidak meletakkan had pada harga telefon pintar 3G bagi membolehkan orang ramai mendapatkan rebat sebanyak RM200, Rais berkata, beliau akan membawa perkara itu ke Kabinet pada 2 Januari depan.

Mengenai persiapan Rumah Terbuka Malaysia Krismas dan sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka, Rais berkata, beliau berpuas hati dengan raptai pada Sabtu yang lancar.

Beliau berkata, Dataran Merdeka dipilih untuk majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas, sambutan Tahun Baru 2013 serta acara Larian Tahun Baru 1Malaysia pada 31 Disember ini kerana ia adalah lokasi bersejarah untuk negara.

"Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru diadakan serentak kali ini untuk memberi kelainan dan menyemarakkan semangat perpaduan semua kaum di Malaysia selari dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata, Ketua Paderi Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam turut dijemput untuk mewakili masyarakat Kristian pada rumah terbuka itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain