suria

10 Penuntut Malaysia Di Syria Perlu Utamakan Keselamatan - Kohilan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengingatkan 10 penuntut Malaysia yang memilih untuk terus berada di Syria supaya mengutamakan keselamatan mereka berikutan pergolakan di negara itu.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, penuntut itu mahu meneruskan pengajian mereka di negara bergolak tersebut meskipun kementerian mengeluarkan arahan supaya mereka kembali ke tanah air.

"Kita tidak boleh memaksa mereka pulang. Bagaimanapun mereka semua telah mendaftar di kedutaan kita di sana dan telah diminta tinggal di kawasan selamat dan tidak terdedah kepada risiko rusuhan.

"Kita mahu mengingatkan mereka supaya menjaga keselamatan dan menjauhi kawasan yang bergolak. Namun, kita sentiasa memantau keselamatan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah anjuran Parti Gerakan cawangan Gombak di sini, Sabtu.

Kohilan berkata, pada September 2011, seramai 139 penuntut Malaysia dibawa pulang dari Syria menerusi pelan evakuasi peringkat pertama disusuli 107 orang pada 26 Julai lepas.

Beliau berkata sehingga kini, para penuntut berkenaan belum boleh menyambung pengajian mereka ekoran pergolakan yang masih membelenggu negara itu.

"Keselamatan mereka lebih utama. Namun kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi akan menguruskan penyambungan pelajaran mereka dalam negara, jika mustahil untuk mereka kembali ke sana lagi," katanya.

Terdahulu, Kohilan menyampaikan bantuan persekolahan berupa baucar dan peralatan sekolah kepada 106 pelajar miskin tegar di daerah Gombak.

Selain itu, seramai 100 isi rumah miskin juga menerima sumbangan makanan manakala 50 warga emas menerima sumbangan sari dan doti sempena ketibaan Tahun Baru 2013. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain