suria

'Kafir Harbi' Bukan Fatwa

KUALA LUMPUR: Gelaran 'Kafir Harbi' yang dilabel kepada masyarakat bukan Islam di negara ini tidak boleh dianggap sebagai fatwa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebaliknya berkata gelaran berkenaan hanya sekadar pandangan hukum yang bersifat peribadi.

Justeru Jamil Khir menegaskan bahawa umat Islam tidak terikat dan berpegang kepada pandangan terhadap hukum yang dikeluarkan.

"Sehingga kini tidak ada fatwa atau pandangan hukum berkaitan kedudukan orang bukan Islam di Malaysia sebagai Kafir Harbi atau Kafir Zimmi yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri atau Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI)," katanya di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) mengenai tindakan yang diambil terhadap pihak yang menghukum sebahagian rakyat bukan Islam di negara ini sebagai Kafir Harbi.

Abdul Hadi melahirkan kebimbangan mengenai perkara berkenaan kerana hukum dan gelaran 'Kafir Harbi' boleh menggugat ketenteraman kaum di Malaysia.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata adalah tidak wajar bagi seseorang menggunakan kebebasan bersuara sebagai alasan untuk mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.

Pada Ogos lalu akhbar Utusan Malaysia menyiarkan kenyataan pengasas Sekolah Agama Pondok Geting, Tumpat di Kelantan, Abdullah Sa’amah yang mengatakan adalah haram menyokong DAP kerana parti itu menolak hukum Islam dan melabelkan parti itu sebagai 'Kafir Harbi'.

Istilah 'Kafir Harbi' merujuk kepada golongan musuh yang berperang dengan umat Islam di mana darah mereka halal ditumpahkan.

Dalam konotasi suasana perang, ia boleh dilakukan diperingkat negara kerana golongan Kafir Harbi itu sendiri berusaha untuk membunuh umat Islam.

Artikel Lain