suria

Kementerian Pelajaran Komited Tangani LGBT Di Sekolah

GURUN: Kementerian Pelajaran komited dalam memastikan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak menular ke sekolah dan merosakkan moral pelajar.

Namun kata Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi, kementerian itu tidak bercadang mengeluarkan garis panduan mengenal pasti simptom awal pembabitan pelajar dalam gejala berkenaan.

"Sebenarnya kita hendak mendidik dan mendedahkan ibu bapa tentang ancaman LBGT tetapi yang berlaku adalah ibu bapa sendiri bergerak menerusi Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah melahirkan kebimbangan mereka tentang gejala ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan seminar keibubapaan dalam menangani isu LGBT anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Majlis Permuafakatan PIBG Sekolah-sekolah Putrajaya, di sini Khamis.

Mohd Puad berkata kementerian itu berpendapat simptom LGBT harus didedahkan secara berterus-terang kepada ibu bapa dan guru agar gejala itu terutama dalam kalangan remaja yang masih bersekolah dapat ditangani dengan berkesan.

"Sudah sampai masanya isu LGBT dibincang secara terbuka dan tidak dianggap sebagai taboo sama seperti usaha kita memperkenalkan pendidikan seks di sekolah dahulu dan kita mengambil pelbagai langkah termasuk menamakan mata pelajaran itu sebagai Pendidikan Kesihatan dan Reproduktif," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Sekolah-sekolah Putrajaya Datuk Sahlan Ismail yang turut hadir, berkata setakat ini pihaknya telah menganjurkan 11 seminar dalam usaha menangani isu LGBT.

Katanya melalui seminar itu pihaknya berharap ibu bapa akan didedahkan tentang langkah pencegahan dan mengenal pasti ancaman yang dibawa LGBT.

"Seminar ini lebih kepada kebimbangan ibu bapa yang mahu memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan gejala ini dan ia tidak bertujuan mengajak orang ramai menghapuskan LBGT seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Kita tidak ada niat untuk mengajak orang ramai bertindak ganas atau menangkap golongan LBGT. Apa yang kita buat adalah sesi pendidikan dan pemahaman kepada ibu bapa dan guru bagaimana menangani isu ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain