suria

Azizan Perlu Terima Hakikat Beliau Sudah Tidak Upaya Terajui Negeri Lagi...

Datuk Seri Azizan Abdul Razak
Datuk Seri Azizan Abdul Razak
Datuk Seri Azizan Abdul Razak

MENTERI BESAR Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sakit lagi dan ini menimbulkan pertanyaan yang sahih sama ada beliau benar-benar bersedia atau berupaya untuk menerajui PAS menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Di atas kertas, sebagai pesuruhjaya PAS Kedah, sudah tentulah beliau perlu menerajui parti itu dalam ‘perang’ besar nanti.

Tetapi realiti menunjukkan sebaliknya. Dan senario paling buruk yang boleh berlaku ke atasnya ialah apabila beliau tidak dapat menghadiri majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidil Fitri yang diadakan di kediaman rasminya Seri Mentaloon, Sabtu lalu (25 Ogos).

Beribu orang hadir untuk berjabat tangan dengannya dan beliau tidak ada di situ untuk menyambut para tetamu yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan rakyat jelata.

Ini semua menimbulkan tanda tanya mengenai keupayaan dirinya untuk mengepalai PAS berhadapan dengan situasi berat dan besar sepertimana pilihan raya umum nanti.

Dan sejak Rabu, Azizan, 70, masih mengambil cuti sakit ekoran alahan kepada salah satu ubat-ubatan hariannya.

Tahun lalu, Azizan terpaksa berehat panjang iaitu selama dua minggu juga kerana cuti sakit.

Penulis juga difahamkan, Azizan belum pernah lagi memanggil sebarang mesyuarat gerakan pilihan raya peringkat negeri walaupun di sana-sini orang sudah mula bercakap mengenai persiapan pilihan raya umum.

Ini sekaligus menimbulkan keresahan khususnya di kalangan pemimpin-pemimpin kawasan dan negeri apatah lagi pemimpin pelapis PAS di negeri itu sepertimana Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh diketahui ramai tidak mempunyai hubungan mesra dengan Azizan.

Dalam ertikata lain, jika Azizan tidak dapat berfungsi dengan baik selaku peneraju parti dan kerajaan di peringkat negeri, siapakah yang boleh diharapkan mampu melakukannya.

Logik menyatakan, sudah tentulah Azizan tidak akan menyerahkan kuasa mutlak ke tangan Phahrolrazi dan juga Dr Ismail.

Jika beliau mahu mendelegasikan kuasa kepada mereka, tidak berlakukan krisis kepimpinan di negeri tersebut Mac lalu apabila kedua-dua mereka enggan dilantik semula ke jawatan exco kerana tidak berpuashati dengan kepimpinan Azizan.

Perlu diberi perhatian, salah satu tuntutan yang dikemukakan oleh kedua-dua pemimpin muda PAS itu kepada kepimpinan PAS pusat sebagai jalan penyelesaian krisis tersebut ialah mendesak agar Azizan menyerahkan jawatan pesuruhjaya PAS negeri kepada orang lain.

Untuk rekod, Phahrolrazi adalah timbalan pesuruhjaya I dan Dr Ismail pula adalah timbalan pesuruhjaya PAS II Negeri Kedah.

Pada masa yang sama, mereka juga menuntut jaminan yang Azizan tidak akan dicalonkan lagi dalam pilihan raya umum akan datang. Kedua-dua tuntutan itu tidak diterima oleh PAS pusat tetapi krisis yang melanda PAS Kedah itu selesai selepas PAS pusat bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau pentadbiran kerajaan negeri.

Tiada siapa tahu sejauh manakah berkesannya jawatankuasa berkenaan dalam melaksanakan tugasan memantaunya apatah lagi ia tidak memiliki kuasa eksekutif sepertimana seorang menteri besar dan barisan exconya.

Oleh yang demikian, dari sudut keberkesanan - sama ada dalam urusan tadbir negeri mahupun parti, PAS tetap berhadapan dengan dilema dan juga krisis seandainya Azizan tidak dapat menerajui parti itu menjelang pilihan raya umum nanti.

Isu ini perlu ditangani dan diberi perhatian segera oleh kepimpinan PAS negeri melainkan Azizan menerima hakikat yang beliau dari segi kesihatan dan fizikal sudah tidak boleh lagi menerajui parti itu dalam pilihan raya umum nanti.

Artikel Lain