suria

Anggota Umno Diminta Utamakan Kesetiaan Kepada Parti

KOTA BELUD: Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta anggota Umno supaya memberi keutamaan kepada kesetiaan dan perpaduan bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti.

Beliau berkata ini adalah penting kerana partilah yang akan membentuk kerajaan dan bukannya individu. "Kita mesti setia kepada perjuangan kita dan tidak mengkhianati parti. Kesetiaan perlu dikekal sepanjang masa bagi memastikan kekuatan parti," katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kota Belud di sini, Ahad.

Salleh yang juga Ketua Umno Kota Belud berkata setiap anggota mesti menunjukkan kesetiaan kepada parti dan bukan bukan berjuang separuh hati demi kepentingan sendiri.

"Kita tidak mahu orang yang bermuka-muka dalam parti kita," katanya dan menambah perjuangan untuk parti perlu berterusan di samping mengutamakan kepentingan parti daripada segala-galanya.

Salleh turut menyeru anggota parti bersikap proaktif untuk menegakkan reputasi baik Umno.

"Kita mahu mereka mengamalkan pendekatan mesra rakyat, mengenepikan ego dan amalan mementingkan diri sendiri. Kita mesti menunjukkan kesederhanaan agar parti sentiasa dilihat oleh rakyat sebagai mementingkan kebaikan.

"Kita jangan memandang rendah kebijaksanaan dan pengetahuan pengundi kita. Kita mesti serba boleh, bertimbang rasa dan profesional dalam pendekatan kita tanpa emosi terutama dalam menjelaskan wawasan dan polisi parti," katanya.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mahu anggota Umno lebih agresif dalam peranan mereka bagi memenangi hati dan minda rakyat menjelang pilihan raya umum penting akan datang.

Beliau berkata Sabah menikmati pembangunan ekonomi pesat di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang berjaya meningkatkan kedudukan kewangan negeri dengan jumlah simpanan lebih RM3 bilion selain memainkan peranan merangka pelan induk agenda pembangunan negeri dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Salleh berkata Umno bahagian Kota Belud menyokong pucuk pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Musa di peringkat negeri. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain