suria

80 Pengendali Bas Henti-Henti Terima Dana RM21.8 Juta

KUALA LUMPUR: Dari Mac tahun ini sehingga hari ini, sebanyak 80 pengendali bas henti-henti dari seluruh negara telah menerima dana bantuan berjumlah RM21.83 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan AwamDarat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Katanya pemberian dana itu telah dapat membantu pengendali bas henti-henti untuk meneruskan perkhidmatan bas masing-masing dan sekaligus memberi faedah kepada hampir lapan juta penumpang dalam sebulan. "Dana ini adalah bersifat jangka pendek untuk membantu pengusaha bas dari seluruh Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak, untuk meneruskan perniagaan memberi perkhidmatan kepada penumpang," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian dengan 11 lagi pengusaha bas henti-henti bagi untuk mendapatkan dana itu.

Pemberian dana itu, yang berjumlah RM400 juta, diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Disember tahun lepas. Syed Hamid berkata SPAD akan memproses permohonan pengendali bas henti-henti dengan keperluan menunjukkan akaun masing-masing serta laluan yang tidak mengguntungkan yang berhak menerima bantuan itu.

Pada hari ini, syarikat yang berjaya mendapatkan dana bantuan tersebut ialah Naile Express & Tours (M) Sdn Bhd (Johor), Setara Jaya Sdn Bhd (Selangor), Koperasi Pengangkutan Melayu Kluang Bhd (Johor), Lanang Road Bus Company Bhd (Sarawak), The Regal Transport Co (Perak), Jejak Ceria Sdn Bhd(Johor), Reliance Omnibus Co Sdn Bhd (Perak), Mersing Omnibus Co Sdn Bhd(Johor), Panaroma Melaka Sdn Bhd (Melaka), Bee Huat Omnibus Co Sdn Bhd (Pahang) dan Syarikat Pengangkutan Bumi Pantai Timur (Terengganu). Syed Hamid berkata SPAD berharap, melalui dana ini, para pengendali dapat meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing dengan menambah kekerapan, menambah laluan yang dahulunya tak mampu beroperasi dan memperbaiki keadaan bas. -BERNAMA

Artikel Lain