suria

Zambry Janji Selesai Masalah Laluan Berbahaya Di Seri Manjung

LUMUT: Masalah penduduk Kampung Datuk Seri Kamaruddin Tambahan, Seri Manjung dekat sini yang terpaksa melalui laluan berbahaya setiap hari bakal berakhir apabila Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berjanji untuk menyelesaikannya.

Penduduk kampung berkenaan berhadapan dengan bahaya manakala sebanyak 14 rumah dilapor mengalami keretakan serius dipercayai disebabkan kenderaan berat yang keluar masuk ke projek bijih besi Vale International (Vale) dan TNB JanaManjung di Teluk Rubiah menggunakan laluan utama di kampung itu.

Ketika meninjau kawasan itu, Zambry berkata kedua-dua pihak telah diminta menggunakan jalan alternatif berhampiran laluan yang diguna sekarang.

"Mereka (Vale dan TNB JanaManjung) diminta menggunakan laluan baru di situ yang jauh daripada perkampungan penduduk. Pejabat Tanah dan Daerah Manjung diminta mengenalpasti tuan punya tanah di laluan alternatif itu bagi tujuan pembesaran jalan.

"Pihak Vale dan TNB JanaManjung juga akan menghantar kakitangan mereka untuk menilai kerosakan yang dialami 14 rumah penduduk di situ dan yakin masalah itu akan selesai dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau dua rumah penduduk yang terlibat, pada Sabtu. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Ahmad Lotfi Tarmiji, 49, berkata masalah itu berlaku sejak setahun lalu dan menjadi semakin serius sejak projek Vale dilaksanakan.

"Lori-lori berkenaan setiap hari melalui kawasan ini sehinggakan rumah kami retak akibat gegaran. "Perkakas rumah kami juga rosak kerana gegaran lori-lori itu yang memang kuat kerana mereka menjalankan kerja 24 jam sehari," katanya.

Seorang penduduk, Mohd Daud Yunos, 64, berkata beliau berterima kasih kepada Zambry yang sudi turun padang bagi melihat sendiri masalah yang hadapi penduduk.

Beliau berkata selain menghadapi masalah keretakan, pelajar dari beberapa sekolah turut berdepan dengan risiko kemalangan maut berikutan laluan itu penuh sesak dengan kenderaan berat terutama ketika pergi dan balik dari sekolah.

"Adakalanya, pemandu lori seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan pengguna lain di laluan itu. Mereka dilihat memandu secara melulu dan laju sehinggakan boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya termasuk pelajar sekolah," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain