suria

100 Warga Asing Dicekup Dalam Operasi Polis Besar-Besaran

PETALING JAYA: Satu operasi besar-besaran polis untuk menumpaskan sindiket asing yang terbabit dalam kes menipu rakyat tempatan dan asing melibatkan jutaan ringgit menyaksikan lebih daripada 100 rakyat asing dan enam penduduk tempatan ditahan.

Dalam operasi bersepadu Ops Tiong, polis bersama-sama Jabatan Imigresen, Kementerian Pengajian Tinggi, Tourism Malaysia dan Rela menyerbu dua lokasi pada hari Isnin di mana mereka menyerbu masuk ke dalam 20 unit apartmen di Mentari Court di sini dan Vista Millenium di Subang Jaya.

Serbuan bermula kira-kira pukul 11.30 malam dan berakhir pada pukul 3 pagi.

Rakyat asing yang ditahan terdiri daripada warga Nigeria, Cameroon, Somalia, Filipina, Sierra Leone dan New Zealand.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata 26 daripada mereka yang ditahan didapati terlibat dalam jenayah komersil.

"Kami menerima 371 laporan pada tahun lepas dan tahun ini yang berkaitan dengan penipuan di mana mangsa mendakwa mereka kerugian lebih daripada RM15 juta terhadap sindiket itu.

"Modus operandi ialah dengan memikat wanita muda tempatan melalui laman-laman web rangkaian sosial dan memberitahu mereka tentang tawaran hadiah yang sedang menunggu.

"Wanita tempatan, 'rakan jenayah' sindiket akan menyamar sebagai pegawai kastam dan kemudian akan menghubungi mangsa dan memberitahu mereka, mereka perlu membayar cukai sebelum mereka boleh mendapatkan 'hadiah'," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Shah Alam, Selasa.

Beliau juga berkata kebanyakan warga asing memasuki negara ini menggunakan visa pelajar dan telah mendaftar diri di kolej-kolej tempatan.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan semua mereka yang ditahan telah ditahan selama empat hari," katanya, sambil menambah bahawa 58 yang lain yang ditahan telah dibebaskan manakala tiga lagi diuji positif dadah.

Dalam kes berlainan, DCP Tun Hisan berkata polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam pemalsuan kad kredit bagi tempoh tiga bulan yang lalu.

Kedua-duanya, berusia 31 tahun, mempunyai enam kad kredit palsu ketika ditangkap di sebuah restoran di Serdang pada hari Sabtu.

Polis merampas 636 lagi kad kredit palsu di apartmen mereka di Kompleks Suria Kinrara.

Suspek telah ditahan reman sehingga Khamis.

Artikel Sebelum

Artikel Lain