suria

10 Lelaki Ditahan Bersama Heroin Bernilai RM60,000 Di Butterworth

KEPALA BATAS: Polis menahan 10 lelaki dan merampas 590.5 gram dadah jenis heroin bernilai hampir RM60,000 dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Raja Uda, Butterworth dekat sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Zulkifli Alias berkata kedua-dua lelaki berusia 24 dan 42 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua bilik hotel berkenaan pada pukul 10 malam.

"Ketika diserbu, mereka berada dalam dua bilik dan sedang membungkus dadah jenis heroin," katanya kepada Bernama selepas perasmian pertandingan bola sepak Piala Ketua Polis Pulau Pinang oleh pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar di Stadium Mini Bertam, di sini Rabu.

Zulkifli berkata siasatan awal mendapati sindiket pengedaran dadah itu menjadikan dua bilik di hotel berkenaan sebagai tempat pembungkusan heroin sebelum mengedarnya di sekitar negeri ini.

"Mereka telah menyewa dua bilik di hotel itu sejak dua minggu lepas dan polis percaya mereka beroperasi secara berpindah randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata polis turut merampas sejumlah wang, peralatan membungkus dadah dan dua kereta.

Sementara itu dalam kes lain, Zulkifli berkata polis telah mengenalpasti sekumpulan lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian merosakkan 16 kereta penduduk Kondominium Vista Bay, dekat sini awal pagi Ahad.

"Kami percaya kumpulan lelaki terbabit masih berada di sekitar Pulau Pinang dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan. Saya percaya kami akan menahan mereka dalam tempoh terdekat," katanya.

Zulkifli berkata kumpulan yang terdiri lebih empat lelaki itu turut dikehendaki polis berhubung beberapa kes jenayah di negeri ini.

Dalam kejadian awal pagi Ahad lepas itu, 16 kereta penduduk Kondominium Vista Bay yang diletakkan di luar kawasan kediaman mereka dirosakkan oleh sekumpulan lelaki. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain