suria

Isu Padang PKNS: Siapa Ahli MBPJ Bertanggungjawab Tukar Status Padang?

SHAH ALAM: Siapa ahli Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) yang memulakan langkah menukar status padang PKNS di Kelana Jaya dari tempat rekreasi ke pusat komersial?

Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) cuba merungkai jawapan ketika sesi pendengaran awam pada Khamis tetapi bekas Pengarah Perancang Bandar MBPJ, Noraini Roslan dan Penolong Pengarah Kanan Perancang Bandar MBPJ, Faiwos Abdul Hamid tetap berdolak-dalih.

Pengerusi Selcat, Datuk Teng Chang Kim dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Haniza Talha, Saari Sungib, Hannah Yeoh dan Sulaiman Razak melontarkan persoalan demi persoalan kepada kedua-duanya selama beberapa jam tetapi gagal mendapatkan jawapan tepat.

"Siapa yang mengambil inisiatif untuk mencadangkan pertukaran itu? Adakah ia dilakukan oleh seorang pegawai atau ia diputuskan oleh jawatankuasa dalam satu mesyuarat? Ia tidak boleh bertukar dengan sendiri," kata Teng.

Ketika pusingan pertama sesi pendengaran pada Rabu, beberapa pendedahan mendapati MBPJ melakukan 210 pertukaran dalam pelan di Petaling Jaya selepas ia diwartakan tanpa persetujuan majlis eksekutif negeri dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD).

Isu itu timbul apabila PKNS cuba membangunkan padang tersebut yang mendapat bantahan daripada penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO).

Noraini dan Faiwos turut mendedahkan pelan yang dipinda itu tidak pernah dibentangkan dalam mesyuarat penuh lembaga pengarah MBPJ walaupun pelan asal diluluskan oleh exco negeri telah dibentangkan.

Noraini yang memegang jawatan Pengarah Perancang Bandar bermula 1 September 2010 hingga 30 Jun 2011, melabelkan pertukaran pelan itu sebagai 'pembetulan'.

Teng bertanya sama ada terdapat sebarang peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan beliau melakukan perubahan tersebut, Noraini berkata, tiada peruntukan spesifik.

Beliau kemudiannya menyatakan Seksyen 16 (1) Akta Perancangan Bandar Desa yang menyebut: "Pihak berkuasa perancang tempatan boleh mengemukakan cadangan bagi pertukaran, pemansuhan atau penggantian sesuatu pelan pada bila-bila masa.

Teng memberitahu Noraini bahawa Seksyen 16(3) turut digunakan yang bermaksud sebarang pertukaran pelan mestilah termasuk mengumum perubahan, merekod bantahan awam dan juga mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri.

"Adakah proses ini dipatuhi?" kata Teng. Noraini berkata tidak.

Beliau turut bersetuju dengan Teng bahawa pelan yang diubah oleh MBPJ adalah menyalahi undang-undang dan tidak mengikut prosedur.

Noraini yang merupakan Presiden Majlis Daerah Kuala Selangor pada ketika ini berkata, ia merupakan amalan biasa untuk membuat pembetulan sebelum dan selepas pelan diwartakan

"Kami mahu mengemukakan pelan yang tepat kepada orang awam," katanya.

Teng kemudiannya membidas Noraini dengan berkata:" Apakah pelan yang betul? Terdapat tiga versi kesemuanya!"

Sementara itu, Faiwos mendakwa bahawa JPBD mengarahkan pembetulan tersebut dilakukan tetapi Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, Norasiah Bee Mohd Haniff menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.

"Mesyuarat pada 13 Januari 2011 adalah untuk membincangkan urusan pencetakan pelan tempatan. Status padang PKNS adalah konsisten pada ketika pelan itu diluluskan oleh exco dan yang diwartakan," katanya.

Teng bertanya kepada Faiwos siapa yang mengarahkan perubahan dalam pelan tersebut, beliau berkata: 'Tiada siapa memberikan arahan spesifik. Ia melibatkan pelbagai jabatan."

Selepas diberikan jawapan sama, Teng tetap tidak berpuas hati dan menangguhkan sesi pendengaran pada Khamis depan (5 Julai).

"Bawa minit mesyuarat. Kami ingin tahu individu (di sebalik pertukaran itu). Beritahu Timbalan Pengarah Perancang Bandar MBPJ, Zain Azly Abdul Rahman supaya datang," katanya.

Artikel Lain