suria

28 Pendatang Tanpa Izin Ditahan Di Kedah

ALOR SETAR: Seramai 28 pendatang tanpa izin rakyat Myanmar dan Kemboja ditahan dalam Ops 6P Jabatan Imigresen Kedah di tiga lokasi di Pendang, dekat sini awal Jumaat.

Antara yang ditahan dalam operasi tiga jam mulai pukul 1 pagi itu ialah seorang wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan bayinya berusia empat bulan.

Tiga kawasan yang diperiksa itu ialah Kampung Bukit Kechik, Kampung Badak dan sebuah tapak pembinaan Taman Teratai, Pendang, kata Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen negeri, Nar Azaman Ibrahim.

"Ketika serbuan di tapak pembinaan, 10 pendatang tanpa izin sedang bermain judi dan hasil pemeriksaan, kami mendapati lima daripada mereka memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) palsu," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan itu berusia antara 19 dan 60 tahun serta dua kanak-kanak perempuan berusia antara 2 dan 11 tahun.

Sementara itu, Nar Azaman berkata, pihaknya menahan lima lelaki, empat daripadanya pendatang tanpa izin rakyat Myanmar dalam pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bukit Kobah, Pendang pada pukul 9.30 pagi Jumaat.

Mereka dipercayai baru memasuki negara ini semalam melalui Thailand untuk dibawa ke Pulau Pinang sebagai pekerja buruh binaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain