suria

81 Pati Ditahan Dalam Operasi CIDB

KUALA LUMPUR: Seramai 81 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama 11 agensi kerajaan pada Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, James Musa Singa berkata mereka terdiri daripada 41 warga Indonesia, Bangladesh (33), Myanmar (tiga), Pakistan (dua) dan masing-masing seorang warga India dan Sri Lanka.

Jumlah tahanan boleh meningkat sekiranya risikan awal dapat dijalankan, katanya kepada pemberita di sini, hari ini. "Memandangkan ini operasi pertama bersama CIDB, kami akan bantu pada masa akan datang dalam mengenal pasti kawasan tumpuan pendatang tanpa izin bagi memastikan tiada pintu-pintu keluar yang lain untuk mereka melarikan diri," katanya.

Operasi tersebut dijalankan di tapak-tapak pembinaan di Sri Hartamas, Cheras dan Sentul.

Antara jabatan yang terlibat adalah Jabatan Rekabentuk Bandar dan Bangunan, Dewan Bandaraya Kuala lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA).

Penolong pengarah CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Nur Iskandar Zulkefli berkata empat notis pemberitahuan dikeluarkan kepada sub-kontraktor mengikut Seksyen 25 Akta CIDB 1994 atas kesalahan tiada perakuan pendaftaran.

Denda sebanyak RM50,000 akan dikenakan dan kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan boleh diberhentikan, jika sabit kesalahan, kata beliau.

Sementara itu, JAS mengeluarkan sembilan kompaun kepada pemaju-pemaju kerana tapak pembinaan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Tiada kesalahan rasuah dan pencemaran udara dilaporkan dalam operasi kali ini.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan CIDB, Abdul Razak Husin, pula mengingatkan semua pemaju hartanah di Malaysia supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Setiap aktiviti pembinaan dalam negara harus mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan dan tidak mengambil sikap sambil lewa bagi memastikan industri pembinaan terus berkembang, selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain