suria

Ahli Perniagaan Ditahan Miliki Pistol, Dadah

KUALA LIPIS: Seorang ahli perniagaan ditahan pihak polis selepas didapati memiliki sepucuk pistol jenis Beretta tanpa lesen dan memiliki 3.3 gram ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu, di Taman Perumahan Cahaya, dekat sini awal pagi Khamis.

Dalam kejadian 1.45 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun itu yang memiliki sebuah kedai emas di Pulau Pinang ditahan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Asisten Superitendan Mat Rizal Mat Radzi bersama sepasukan anggotanya yang sedang mengadakan Ops Tapis di taman perumahan terbabit.

Sebelum kejadian, pihak polis terserempak dengan ahli perniagaan terbabit dalam keadaan mencurigakan yang berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang ketika menuju ke keretanya jenis Honda Accord.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pihak polis kemudian bertindak menahan lelaki berkenaan dan berlaku sedikit pergelutan.

"Pihak polis kemudian merampas beg sandang yang digalasnya sebelum menemui plastik ubat sakit perut berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 3.3 gram," katanya di sini Khamis.

Hasil pemeriksaan dalam kenderaannya, polis menemui sepucuk pistol bersama 13 biji peluru dalam sarung senjata api berkenaan berada di bawah tempat duduk pemandu.

"Polis merampas senjata api berkenaan bersama dadah yang ditemui sebelum ahli perniagaan terbabit dan kenderaanya dibawa ke Balai Polis Lipis untuk siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, dadah yang ditemui itu dipercayai untuk kegunaan sendiri dan dianggarkan bernilai kira-kira RM1,500," katanya.

Beliau berkata, ahli perniagaan terbabit yang disahkan positif dadah, ditahan reman selama tiga hari di Lokap Balai Polis Lipis untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya Pindaan 1952. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain