suria

Zaid Bidas Jakim, Pertahan Buku Irshad Manji

PETALING JAYA: Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Datuk Zaid Ibrahim pada Khamis menempelak tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengharamkan tulisan Irshad Manji dalam buku Allah, Kebebasan dan Cinta.

Menurut Zaid, jabatan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan buku Irshad yang dikenali sebagai pendukung lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Jakim tak ada kuasa haram buku pun. Ini masalah menteri tak faham tugas. Menteri Jakim tak ada kuasa haram buku. Menteri Dalam Negeri ada kuasa," kata Zaid yang dipetik menerusi akaun twitter miliknya pada Khamis.

Komen Zaid itu dipercayai merujuk kepada tindakan Jakim memutuskan buku Irshad haram kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

Buku tersebut diterbitkan syarikat milik Zaid iaitu ZI Publication yang dikendalikan anaknya, Ezra Zaid.

Jakim mengemukakan perakuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta penjualan buku karya warga Kanada kelahiran Uganda itu diharamkan selepas kajian mendapati ia mengandungi unsur liberalisme dan boleh menimbulkan kecelaruan di kalangan umat Islam.

Mengulas lanjut Zaid turut mempersoalkan keputusan pengharaman yang dibuat Jakim bersandarkan kepada kandungan unsur liberalisme.

"Mengapa Jakim sangat takut dengan idea liberalisme? Mungkin mereka fikir ia seperti komunisme.

"Penulis liberal memberi pandangan yang agak lembut mengenai agama. Berbuat baik...memaafkan, tidak hanya mengenai neraka dan hukuman. Apa yang salah mengenainya?" katanya.

Buku Irshad diterjemahkan daripada versi bahasa Inggeris dan dilancarkan di ibu negara pada Sabtu lalu.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melarang Irshad mengadakan sebarang program, forum atau ceramah di negeri itu, termasuk program di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Monash, di Bandar Sunway pada 18 Mei lalu.

Program dijadualkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga dibatalkan.

Irshad pernah mengarang buku yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk The Trouble With Islam Today yang mengandungi idealisme seperti penulis novel The Satanic Verses, Salman Rushdie.

Artikel Lain