suria

Individu Bankrap Gagal Bayar Ansuran, Dipenjara Sebulan

PETALING JAYA: Permohonan komital Jabatan Insolvensi Malaysia, cawangan Perlis (MdI Perlis) terhadap seorang individu yang diisytiharkan bankrap, Rohizan Muza kerana didakwa mengingkari perintah mahkamah berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi, Kangar pada Khamis.

Rohizan, 42, dikomitkan hukuman penjara selama sebulan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Zuhair Rosli.

Menurut satu kenyataan oleh Jabatan Insolvensi, kes berkenaan di bawah Seksyen 91(2) Akta Kebankrapan 1967.

Rohizan diisytiharkan bankrap pada 11 Januari 2001 dan hadir di MdI Perlis pada 24 Oktober 2002, serta bersetuju untuk membayar ansuran bulanan sebanyak RM50 mulai November 2002.

Bagaimanapun, Rohizan gagal mematuhi perintah tersebut.

Dalam kes berkenaan, MdI Perlis terlebih dahulu menghantar notis-notis peringatan kepada bankrap supaya menjelaskan tunggakan ansuran bulanan dalam masa yang ditetapkan namun bankrap masih gagal menjelaskannya secara teratur dan menyebabkan tindakan komital diambil terhadapnya.

Pendakwaan dibuat oleh Pegawai Kebankrapan MdI Perlis, Amseveani Subramaniam.

Menurut Jabatan Insolvensi, hukuman tersebut merupakan satu peringatan kepada bankrap agar tidak memperlekehkan undang-undang kebankrapan di negara ini.

“Jabatan ini menggesa individu bankrap yang masih tidak jelas tentang undang-undang dan prosedur kebankrapan supaya terus menghubungi cawangan-cawangan Jabatan Insolvensi di setiap negeri.

“Ini bagi mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan pentadbiran dan pengurusan kes kebankrapan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka,” kata kenyataan itu lagi.

Artikel Lain