suria

146 Salinan Perisian Komputer Haram Bernilai RM1.5 Juta Dirampas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 146 salinan perisian komputer haram bernilai RM1.5 juta dirampas dari tiga syarikat berkaitan kejuruteraan, reka bentuk dalaman dan pengiklanan di sekitar Lembah Klang dalam tiga serbuan pada Selasa dan semalam.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Mohamad Mokhtar Yeop berkata tiga syarikat yang beroperasi di Petaling Jaya, Shah Alam dan kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur itu mengaut keuntungan berganda dengan hanya menggunakan perisian haram tersebut.

Antara perisian haram yang dirampas ialah Microsoft Office, Windows 7, produk Adobe dan beberapa perisian berkaitan produktiviti perniagaan selain 18 unit komputer dari premis terbabit, katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan risikan selama sebulan bagi mengumpul bukti kukuh mengenai penyalahgunaan perisian tersebut.

"Malah kita turut mendapatkan waran mahkamah sebelum melakukan serbuan. Mendapatkan waran adalah penting kerana serbuan dibuat ke atas syarikat besar dan boleh dikatakan ternama dalam bidang masing-masing," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan, pemilik syarikat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan dan denda minimum RM2,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Beliau memberi amaran kepada pengguna termasuk pemilik syarikat yang menggunakan perisian haram akan dikenakan tindakan undang-undang dan boleh didakwa di mahkamah. - BERNAMA

Artikel Lain