suria

Siling Klinik Kesihatan Jinjang Runtuh Akibat Hujan Lebat

KUALA LUMPUR: Seramai 10 pesakit mengalami detik-detik cemas apabila bumbung siling dua bilik menyimpan peralatan perubatan di Klinik Kesihatan Jinjang di sini runtuh berikutan hujan lebat selama sejam, petang Rabu.

Bagaimanapun, semua pesakit luar serta petugas di klinik itu sempat keluar dan berkumpul di perkarangan klinik itu sebelum pihak Bomba dan Penyelamat dari Balai Jinjang tiba 10 minit kemudian untuk melakukan pemeriksaan.

Seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata sebelum kejadian beliau telah terdengar bunyi bising dari bumbung siling tersebut kira-kira pukul 4.50 sebelum ia runtuh 10 minit kemudian.

"Semasa kejadian itu saya sempat mengarahkan semua pesakit dan beberapa petugas klinik keluar ke tempat yang selamat," katanya.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Jinjang, Rosli Haris berkata beliau percaya siling itu runtuh akibat tidak dapat menahan bebanan air akibat hujan lebat.

Katanya kejadian itu menyebabkan kedua-dua bilik itu digenangi air dan peralatan perubatan dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit mengalami kerosakan. -BERNAMA

Artikel Lain