suria

Lapan Lagi Kolej Vokasional Akan Dibina

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan membina lapan lagi Kolej Vokasional dalam usaha memastikan bekalan tenaga kerja teknikal di negara ini mencukupi, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata tiga kolej vokasional itu akan dibina di Johor iaitu Tanjung Piai, Pagoh dan Pasir Gudang manakala lima lagi setiap satu di Pasir Puteh (Kelantan), Kuala Berang (Terengganu), Pekan (Pahang), Dengkil (Selangor) dan Gurun (Kedah).

"Kementerian telah melaksanakan transformasi pendidikan vokasional secara menyeluruh yang merupakan proses rekayasa semula melalui penubuhan Kolej Vokasional menggantikan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dan memperkenalkan Program Asas Vokasional (PAV).

"Bagi tujuan tersebut 15 buah SMV telah dinaik taraf sebagai Kolej Vokasional, manakala 15 lagi sekolah menengah kebangsaan akan melaksanakan PAV secara rintis mulai tahun 2012," katanya ketika menjawab soalan Ahmad Lai Bujang (BN-Sabuti).

Beliau berkata bagi negeri Sarawak, terdapat 188 kekosongan di enam buah SMV dan sebuah Sekolah Menengah Teknik (SMT) sehingga 31 Januari lepas.

"Data 31 Januari lepas juga menunjukkan enrolmen murid di SMV, SMT dan Kolej Vokasional adalah seramai 3,110 orang. Jumlah itu menunjukkan SMV, SMT dan Kolej Vokasional sedia ada mampu menampung keperluan murid di Sarawak," katanya.

Mohd Puad berkata kementeriannya akan mempertimbangkan untuk membina sebuah lagi Kolej Vokasional di Sarawak bagi memastikan keperluan tenaga kerja dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) dapat dipenuhi.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata rakyat boleh mengemukakan aduan terhadap salah laku anggota penguatkuasa kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang mula beroperasi pada 1 April tahun lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain