suria

80 Peratus Rakyat Malaysia Jadi Keldai Dadah, Golongan Lelaki

KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 peratus daripada kalangan rakyat Malaysia yang dikesan terlibat menjadi keldai dadah adalah terdiri daripada golongan lelaki. Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Luar Neow Choo Seong berkata laporan dari Bahagian Konsular Wisma Putra itu membuktikan bilangan lelaki adalah golongan tertinggi terlibat menjadi keldai dadah berbanding wanita iaitu hanya 20 peratus.

"Bila bercakap mengenai keldai dadah, tentu kita akan terbayangkan wanita selalunya yang akan jadi mangsa atas faktor terjerat dalam percintaan atau mengejar kemewahan.

"Tetapi sebenarnya lelaki juga tidak terkecuali dan golongan ini dikesan paling ramai terlibat," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucapan pada Seminar Kesedaran Rakyat mengenai Keldai Dadah (SEDARLAH) di Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskills di sini, Khamis.

Neow berkata kebanyakan golongan lelaki bukanlah menjadi mangsa atau diperdaya mana-mana pihak kerana mereka tahu apa yang mereka bawa. "Mereka mengakui melakukannya kerana terdesak dan kesempitan wang dan cara ini (menjadi keldai dadah) adalah antara tawaran terbaik yang dilihat mampu mengubah kehidupan mereka," katanya.

Neow berkata kebanyakan golongan lelaki yang dikesan menjadi keldai dadah pula ditangkap secara berkumpulan kerana mereka sebelum itu mengagih-agihkan dadah tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan hukuman lebih berat dikenakan sekiranya ditangkap.

"Kalau wanita melakukannya (keldai dadah) secara seorang diri, lelaki pula melakukannya secara berkumpulan seperti apa yang berlaku di New Zealand tahun lepas.

"Enam lelaki kita ditahan di sana kerana membawa dadah. Ini adalah satu strategi bagi mengelakkan mereka dikenakan hukuman berat.

"Contohnya kalau seorang sahaja yang bawa tiga kilogram dadah, tentulah hukuman berat dikenakan ke atasnya. Tapi kalau seorang ditahan dengan membawa 500 gram dadah sahaja, (selepas dibahagikan dengan ahli kumpulan lain) hukuman yang dikenakan tentulah lebih rendah," katanya.

Beliau berkata apa yang boleh dilakukan kementerian itu untuk membantu mangsa yang ditahan di luar negara adalah dengan membuat lawatan konsular ke pusat-pusat tahanan atau penjara, mendapatkan bantuan guaman dengan memberi jaminan perbicaraan dilakukan secara adil dan saksama.

"Kementerian juga bertanggungjawab menjamin hak-hak asasi rakyat Malaysia terlindung di bawah undang-undang tempatan dan undang-undang antarabangsa," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain