suria

Bekas Ejen Penghantaran Dipenjara Sehari, Denda RM5,000 Beri Wang Kepada Penguasa Kastam

SHAH ALAM: Seorang bekas ejen penghantaran dipenjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Isnin selepas mengaku bersalah cuba memberikan wang tunai RM5,000 kepada seorang penguasa Kastam Diraja Malaysia, lima tahun lepas.

Hakim Asmadi Hussin juga memerintahkan M.Asitambi, 47, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa cuba memberikan wang tunai RM5,000 kepada Azman Jusoh sebagai balasan menyelesaikan kesalahan yang dilakukan iaitu membuat akuan tidak betul, yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1965.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Briyani King, Jalan Sri Sarawak 18, Taman Seri Andalas, Klang, kira-kira pukul 8.40 malam pada 20 Julai 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 28 Jun 2007 Azman telah membuat pemeriksaan dagangan ke atas sebuah kontena milik syarikat Oriental Waste Sdn Bhd yang diikrar sebagai pakaian terpakai dan hasil pemeriksaan mendapati kontena berkenaan mengandungi campuran pakaian baru dan terpakai.

Pegawai Kastam itu kemudian memberitahu tertuduh, yang merupakan wakil syarikat berkenaan bahawa anggaran jumlah duti perlu dibayar ialah RM15,981 tetapi tertuduh menafikannya dan mendakwa syarikatnya telah mengimport pakaian baru dan ingin merujuk perkara itu kepada majikannya.

Pada 9 Julai 2007, tertuduh telah menghubungi Azman dan mengajak berjumpa untuk membincangkan mengenai perkara itu di sebuah tempat letak kereta di Taman Sri Andalas di mana tertuduh menawarkan wang kepada Azman tetapi beliau menolaknya.

Pada 19 Julai 2007, Azman menerima arahan untuk memeriksa premis syarikat berkenaan dan di sana tertuduh telah berbisik kepada pegawai Kastam itu untuk membuat laporan yang baik terhadap pemeriksaan itu.

Seepas itu, tertuduh telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Azman untuk berjumpa di Restoran Briyani King (tempat kejadian) dan pegawai Kastam itu kemudian menghubungi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengesyaki tertuduh mungkin menawarkan wang rasuah.

Ketika di restoran itu, tertuduh telah menyerahkan sekeping sampul surat kepada Azman dan memberitahu bahawa ia adalah hadiah ikhlas daripadanya serta berkata "kamu tolong saya, saya tolong kamu".

Pegawai Kastam itu kemudian mendapati sampul itu mengandungi wang lalu beliau memulangkan semula sampul berkenaan kepada tertuduh.

Tertuduh seterusnya mengambil sampul surat berisi wang itu dan meletakkannya dalam surat khabar serta memberitahu dia ingin ke tandas.

Ketika berada di tandas, tertuduh ditangkap oleh anggota penguatkuasa SPRM.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SPRM Mahamad Sukri Abu Seman manakala tertuduh diwakili peguam Afifuddin Hafifi. - BERNAMA

Artikel Lain