suria

Buat Laporan Polis Secara Dalam Talian

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak lama lagi boleh membuat laporan polis terhadap kesalahan kecil yang berlaku di Kuala Lumpur secara dalam talian dan mereka akan dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan.

Sistem tersebut akan diperkenalkan bagi menambah baik perkhidmatan kepolisan dan sebagai usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah satu bandar paling selamat di dunia.

Kesalahan-kesalahan yang boleh dilaporkan di laman web polis Kuala Lumpur termasuk kecurian kecil, vandalisme dan jenayah kekerasan yang tidak melibatkan keganasan.

Orang ramai juga boleh melaporkan tentang kehilangan harta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, jawatankuasa yang diketuai beliau sedang memperhalusi sistem tersebut kerana ia akan diperkenalkan dalam beberapa bulan lagi.

Beliau yang menjelaskan mengenai prosedur sistem itu berkata: "Setelah pengadu siap membuat laporan mereka, mereka akan ke satu halaman di mana boleh memuat turun resit yang lengkap dengan nombor rujukan.

“Anggota kami akan memberikan maklum balas berhubung laporan berkenaan dalam tempoh 24 jam. Laporan mereka akan diajukan ke balai polis yang berdekatan dengan lokasi jenayah itu.

“Para pengadu akan diberikan nombor telefon pegawai penyiasat supaya mereka boleh mengetahui perkembangan kes berkenaan.”

Beliau memberi jaminan bahawa butiran peribadi pengadu dirahsiakan.

Ku yang berkata kepada The Star memberitahu bahawa sistem berkenaan dijangka akan mengurangkan bilangan jenayah yang tidak dilaporkan, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah satu daripada 20 negara paling selamat di dunia menjelang tahun 2020.

Mengenai jenayah yang serius, Ku berkata, orang ramai perlu membuat laporan kepada Rakan atau di balas polis berdekatan.

Artikel Lain