suria

Warga Afrika Paling Ramai Salah Guna Visa Pelajar

KUALA LUMPUR: Pelajar asing warga Afrika mencatatkan kes paling tinggi bagi kesalahan penyalahgunaan pas pelajar di negara ini sejak 2009 hingga tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, berdasarkan statistil Jabatan Imigresen Malaysia, menunjukkan seramai 54 orang pemegang pas pelajar ditangkap.

"Daripada jumlah itu seramai 24 orang adalah warganegara Afrika iaitu 11 orang warganegara Algeria, enam (Nigeria), dua (Botswana), dua (libya) dan seorang masing-masing warganegara Lesotho, Kenya dan Afrika Selatan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Manakala bagi 2010, seramai 23 orang pemegang pas pelajar ditangkap atas kesalahan penyalahgunaan pas.

"Daripada jumlah tersebut seramai empat orang warganegara Nigeria dan seorang masing-masing warganegara Sudan, Yemen dan Zimbabwe.

"Bagi 2011 pula seramai sembilan orang pemegang pas pelajar ditahan. Namun daripada jumlah tersebut, tiada warganegara Nigeria ditangkap atas kesalahan penyalahgunaan pas namun terdapat seorang warga Yemen ditahan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin mengetahui mengenai bilangan tangkapan serta tindakan undang-undang yang diambil terhadap pelajar yang menyalahgunakan visa pelajar asing.

Mengulas lanjut Abu Seman berkata, pihak kementeriannya telah mengambil beberapa tindakan mengikut jenis kesalahan pelajar asing yang ditangkap pada 2009 hingga 2011.

"Sekiranya kesalahan tinggal lebih masa, mereka akan didakwa atau dikompaun.

"Manakala sekiranya mereka melanggar syarat-syarat pas, mereka akan dikompaun, pas dibatalkan, disusir serta disenaraihitamkan.

"Bagi kes yang didakwa dan disabitkan kesalahan, setelah tamat menjalani hukuman, mereka akan diusir dan disenaraihitamkan," katanya.

Artikel Lain