Wartawan Mahkamah Berdepan Saat Cemas, Kereta Dilanggar Penjenayah - Semasa | mStar

Wartawan Mahkamah Berdepan Saat Cemas, Kereta Dilanggar Penjenayah

KLANG: Kalau selama ini Rita Jong, wartawan mahkamah sebuah akhbar berbahasa Inggeris sering membuat liputan mengenai penjenayah yang dihadapkan ke mahkamah, namun pada Selasa beliau berdepan saat mencemaskan apabila keretanya dilanggar seorang penjenayah yang mempunyai 20 rekod jenayah lampau.

Rita, 36, yang kini hamil lima bulan, dan suaminya, Kenny Teo, 35, seorang petugas di stesen televisyen swasta bagaimanapun bernasib baik kerana mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Semasa kejadian, saya dan suami dalam perjalanan pulang ke rumah. Syukur, kami selamat tetapi kereta mengalami kerosakan pada bahagian tepi pemandu," katanya.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop berkata suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah serta mempunyai 20 rekod jenayah lampau di sekitar Shah Alam dan Ampang.

Mohamad berkata dalam kejadian kira-kira 4.20 petang Selasa, suspek yang menaiki kereta jenis Proton Waja warna kelabu, terserempak dengan sebuah kereta peronda MPV polis di Jalan Istana.

"Ketika bertembung dengan polis, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan dan ketika cuba ditahan, suspek bertindak memecut kenderaannya ke arah Jalan Tengku Kelana sebelum terbabas di Jalan Dato Hamzah.

"Kenderaan yang dipandu suspek telah terbabas dan melanggar kenderaan yang dinaiki pemberita berkenaan yang dipandu suaminya," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Mohamad berkata pemeriksaan lanjut dalam kenderaan suspek menjumpai sebatang besi tajam yang hujungnya dibengkokkan, dipercayai peralatan pecah rumah dan beberapa kunci induk.

Beliau berkata kenderaan yang dinaiki suspek juga dilaporkan sebagai kereta curi berdasarkan rekod di Bukit Jelutong, dan pemeriksaan air kencing mendapati dia positif dadah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.