suria

Tajudin Diberi Penangguhan Pendengaran Rayuan Saman Sivil Celcom

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memberi penangguhan kepada ahli perniagaan Tan Sri Tajudin Ramli bagi pendengaran rayuan dalam saman sivil oleh Celcom (Malaysia) Berhad terhadap beliau sehingga keputusan penyelesaian luar mahkamah dibuat antara beliau dengan syarikat itu.

Sebuah panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha menetapkan 9 April bagi pendengaran rayuan akan datang dan satu usul sekiranya penyelesaian gagal dicapai.

Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Hakim Datuk Clement Allan Skinner dan Hakim Datuk Aziah Ali.

Permohonan penangguhan dibuat oleh peguam Tajudin, Lim Kian Leong dan peguam R.S.Nathan yang mewakili Celcom tidak membantah penangguhan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan Tajudin dan permohonan tiga lagi bekas pengarah untuk membatalkan dua saman sivil terhadap mereka.

Bila ditanya oleh Hakim Tan, Nathan mengesahkan pihak-pihak dalam saman itu sedang berusaha menyelesaikan kes.

Celcom menyaman bekas pengarahnya termasuk Tajudin bagi mendapatkan semula RM880 juta yang ia telah bayar kepada DeTeAsia Holdings GmbH, sebuah unit Deutsche Telekom, berikutan anugerah timbangtara yang DeTeAsia terima terhadap Celcom di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa, International Chamber of Commerce pada 2 Ogos 2005 dalam kes langgar kontrak.

Syarikat itu (Celcom) memohon bekas pengarahnya termasuk Axel Hass dan Oliver Tim Axmann mengganti balik semua bayaran itu yang dibuat kepada DeTeAsia.

Pada 2003, Telekom Malaysia Bhd menawarkan RM2.75 setiap saham Celcom bila ia menawarkan untuk membeli bahagian selebihnya pengendali mobile itu.

Deutsche Telekom kemudian menjual sahamnya pada harga itu tetapi ia telah memfail untuk timbangtara, menuntut RM4.25 lagi bagi setiap saham sebagai ganti rugi.

Firma Jerman itu mendakwa ia telah dijanjikan RM7 sesaham di bawah perjanjian dengan lembaga Celcom sebelum itu di bawah pimpinan Tajudin.

Pada 14 Februari, Tajudin menarik balik rayuannya selepas beliau dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd mencapai penyelesaian luar mahkamah berhubung saman sivil difailkan enam tahun lepas mengenai hutang RM589 juta dibuat oleh tokoh korporat berkaitan pembelian saham MAS.

Tajudin juga menarik balik tuntutan balas terhadap beberapa litigan lain termasuk Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporations, Celcom (M) Berhad, Atlan Holding Bhd dan Kumpulan CIMB.

Pada 16 Februari, sebuah mahkamah rayuan juga membenarkan permohonan Tajudin bagi penangguhan rayuan selama tiga bulan dalam saman sivil terhadap Sistem Penerbangan Malaysia Bhd. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain