suria

Kerajaan Selangor Hanya Rampas Tanah Yang Disalahgunakan - Abdul Khalid

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor pada Rabu menegaskan tindakan merampas tanah pajakan di negeri ini dibuat kerana ada pihak yang menyalahgunakan tanah yang diberikan untuk kepentingan selain daripada apa yang telah dipersetujui.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ada pihak yang telah menyalahgunakan tanah pertanian untuk pembangunan komersil tanpa mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

“Sebagai contoh tanah yang diberikan untuk sektor pertanian maka mereka perlu menggunakan untuk bidang pertanian. Sebaliknya jika mereka hendak membuat pembangunan komersil di tapak tanah tersebut maka mereka perlu menukar status kepada tanah untuk pembangunan.

“Anda tidak boleh menggunakan tanah yang ditentukan untuk satu-satu sektor kepada sektor lain tanpa kebenaran daripada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan muka depan akhbar The Star Rabu yang melaporkan tentang kehilangan tanah pajakan bernilai RM250 juta milik Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB)yang disita oleh kerajaan Selangor, Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, tindakan menyita tanah pajakan yang tidak mengikut syarat pajakan yang ditetapkan terpaksa dilakukan kerana perkara tersebut telah berleluasa di negeri itu.

“Kerajaan negeri terdahulu terlalu mengambil remeh hal tersebut hingga masalah ini tidak boleh diselesaikan.

“Sehingga ada kawasan perumahan di bina berhampiran dengan kawasan kuari. Ini menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan penduduk kawasan perumahan dan ia secara tidak langsung turut menyukarkan kuari berkenaan untuk beroperasi,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan akan mengambil tindakan tegas termasuk merampas tanah mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang pajakan tanah telah dipersetujui.

“Kita akan gunakan tanah ini untuk kepentingan rakyat Selangor. Pihak berkenaan mempunyai pilihan sekiranya mereka tidak berpuas hati maka boleh membawa perkara ini ke mahkamah.

“Kerajaan negeri mahu tahu punca mereka tidak mematuhi syarat-syarat pemajakan tanah yang telah diberikan,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Khalid menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh merampas tanah tersebut dalam tempoh terdekat sebaliknya mereka akan mengeluarkan surat kepada pemilik tanah berkenaan bagi memaklumkan kesalahan yang telah dilakukan itu.

“Perkara ini (mengambil semula tanah) tidak boleh dilakukan dalam tempoh sehari, kita perlu tulis surat kepada mereka. Ada prosedur yang perlu dipatuhi dan ini mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan,” katanya.

Ditanya sekiranya penyalahgunaan tanah tersebut melibatkan kepentingan anak syarikat kerajaan negeri Selangor sendiri, Abdul Khalid berkata: “Jika mereka sungguh bodoh untuk melakukan perkara sedemikian maka saya akan tetap mengambil tindakan terhadap mereka.”

Jelasnya, kerajaan Selangor tidak akan memberi keistimewaan kepada mana-mana pihak termasuklah anak syarikat yang dimiliki oleh kerajaan negeri sekiranya mereka melakukan perkara sedemikian.

Tanah yang dimiliki oleh KHSB disita oleh kerajaan Selangor, Ogos tahun lalu kerana didakwa wujudnya aktiviti kuari secara haram sejak bertahun-tahun lamanya.

Tanah pegangan pajak berkeluasan 234 hektar di Gombak dimiliki SAP Holding Bhd (anak syarikat KHSB).

KHSB merupakan aset hartanah Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) dan anak syarikat yang dimiliki oleh kerajaan negeri Selangor.

Abdul Khalid merupakan Pengerusi Eksekutif KDEB.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain